
Ti Lian Ker berkata, kejadian seperti di Kelantan, apabila seorang pemilik perniagaan bukan Islam didenda kerana “berpakaian tidak sopan”, tidak patut berulang.
“Saya harap mereka tidak terlalu ‘bersemangat’ melaksanakan dasar itu,” katanya kepada FMT.
“Ini tidak bagus untuk imej negeri itu, atau industri pelancongan kita. Contohnya, berseluar pendek menjadi suatu kebiasaan bagi ramai pelancong tempatan dan antarabangsa, khususnya dalam keadaan cuaca negara ini.
Katanya, tindakan seperti itu yang diambil terhadap pelancong akan memburukkan nama Malaysia, malah mungkin menghalang pelancong datang ke negara ini, seterusnya menjejaskan hasil pelancongan.
Pada Ahad, pentadbiran PAS di Terengganu berkata akan menguatkuasakan kod pakaian patuh syariah bagi pelancong beragama Islam.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Razali Idris berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan syarikat pelancongan bagi memastikan pengunjung mematuhi peraturan, khususnya di lokasi pelancongan popular seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian.
Beliau berkata demikian susulan gesaan Adun Lalang Zuraida Md Noor supaya pelancong beragama Islam lebih sedar dan mematuhi kod pakaian patuh syariah, berikutan semakin ramai dikatakan “lebih berani” melanggar garis panduan pelancongan negeri
Ti yang juga bekas naib presiden MCA berkata, walaupun peraturan syariah hanya terpakai untuk orang Islam, berlaku kejadian pada masa lalu yang mana golongan bukan Islam turut dikenakan tindakan disebabkan pakaian mereka.
Beliau memetik sebagai contoh kejadian di Kelantan awal tahun ini apabila seorang wanita dikenakan kompaun oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu kerana berseluar pendek di tempat awam.
“Jika berlaku sekali, ia boleh berlaku lagi dan kita tidak perlu ditertawakan dunia disebabkan tindakan pegawai yang ‘terlalu bersemangat’,” kata Ti.
“Di kawasan pantai seperti Perhentian, pasti ada pelancong bukan Islam dan asing yang dilihat berpakaian ‘tidak sesuai’. Saya harap pegawai penguat kuasa tidak akan menjadi ‘polis moral’ apabila berurusan dengan orang bukan Islam dan warga asing.”
Beliau mengingatkan bahawa sebarang tindakan diambil terhadap orang bukan Islam akan melanggar hak asasi yang dijamin mengikut Perlembagaan, dan menimbulkan masalah undang-undang.