Stabil industri beras, PAC gesa kerajaan kaji alternatif kepada Bernas

Stabil industri beras, PAC gesa kerajaan kaji alternatif kepada Bernas

Naib Pengerusi PAC Wong Shu Qi berkata perjanjian konsesi Bernas telah dilanjutkan beberapa kali dari 1996 sehingga 2031.

Konsesi terbaharu Bernas bagi pengurusan padi dan beras dari 2021 membabitkan perjanjian bernilai RM3.2 bilion.
KUALA LUMPUR:
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan mengkaji alternatif dalam pengurusan padi dan beras bagi mengelakkan terlalu bergantung kepada Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

Membentangkan lapan syor menjamin kestabilan industri beras negara, Naib Pengerusinya Wong Shu Qi berkata Bernas selaku pemegang tunggal konsesi sejak 1996 telah dilanjutkan perjanjiannya beberapa kali, terbaru dari 2021 sehingga 2031.

Menurutnya, ia bermaksud konsesi bakal menjangkau tempoh 35 tahun dengan perjanjian bermula 11 Jan 2021 hingga 10 Jan 2031 bernilai RM3.216 bilion.

“Kerajaan perlu mengkaji alternatif dalam menjamin kestabilan industri beras negara bagi mengelakkan kebergantungan kepada perjanjian konsesi Bernas sekali gus mendorong ke arah pasaran terbuka beras,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Beliau membentangkan laporan PAC yang diterbitkan hari ini bertajuk ‘Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi bagi Industri Padi dan Beras Negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)’.

Wong berkata PAC juga mengesyorkan KPKM memantau Akaun Amanah Dana Obligasi Sosial Bernas bagi memastikannya disalur mengikut syarat dan tepat pada masa ditetapkan.

“Sehingga 14 Jun lalu, Bernas masih belum menyalurkan baki berjumlah RM25 juta daripada RM37 juta untuk dana obligasi sosial tahun 2021,” katanya.

Wong berkata antara syor lain, KPKM dan Bernas perlu segera membangunkan Sistem Maklumat Padi dan Beras serta Sistem Pengurusan Profil dan Nutrisi Tanah bagi memastikan keberkesanan penggunaan Sistem Kad Pintar pesawah.

“KPKM hendaklah menguatkuasakan remedi iaitu dengan menuntut penalti yang berkaitan, berhubung dengan kegagalan syarikat konsesi mematuhi obligasinya selaras dengan KPI yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

“Ini termasuk dan tidak terhad kepada kegagalan pembayaran RM25 juta dana obligasi sosial mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.