
Katanya, PDC memberi taklimat kepada Jawatankuasa Eksekutif Negeri berhubung penjualan tanah seluas 226ha itu April lalu.
“Jawatankuasa Eksekutif Negeri mengambil maklum penjelasan PDC dan perkara itu akan dibangkitkan (kepada lembaga pengarah PDC minggu depan) untuk (buat) keputusan,” katanya pada sidang media.
Bekas timbalan ketua menteri, P Ramasamy menggesa perjanjian itu digantung kerana mendakwa ia tidak mengikut prosedur.
Ketika ditanya FMT sama ada mesyuarat PDC akan menyemak atau menggantung perjanjian itu, Chow berkata: “(Ia) untuk PDC bentangkan isu (perjanjian tanah itu) untuk perhatian lembaga.”
Beliau mengulangi jawapan sama ketika ditanya semula sama ada PDC akan menyemak atau menggantung perjanjian itu dalam mesyuarat berkenaan.
Media melaporkan tanah itu dijual melalui rundingan terus kepada Umech Construction Sdn Bhd pada April lalu untuk membangunkan taman perindustrian.
Sebelum ini, Chow mempertahankan penjualan tanah itu atas alasan kurang minat terhadapnya. Sebuah jawatankuasa kecil PDC meluluskan penjualannya.
Tetapi, Ramasamy yang turut menganggotai jawatankuasa kecil itu mempersoalkan bagaimana Umech Construction menjual tanah itu kepada Umech Land Sdn Bhd kerana pemaju hartanah, Sunway Group memegang 70% kepentingan.
Ramasamy berkata, persoalan turut timbul berhubung penjualan tanah itu pada harga lebih rendah daripada kadar pasaran, iaitu RM26.53 sekaki berbanding RM80 sekaki persegi, seperti didakwa Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang.
Ramasamy juga tidak percaya Chow tidak tahu mengenai kepentingan majoriti Sunway dalam Umech Land.
“Kami berharap Chow bersikap telus, tidak membuat pembelaan membuta tuli. Semakin anda mempertahankannya, semakin ia tidak dapat dipertahankan. Dia perlu bertindak berani, memanggil mesyuarat khas dan menggantung perjanjian itu,” katanya dalam sidang media semalam.