
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata permohonan MAIPs itu tidak memberi manfaat kepada kanak-kanak terbabit.
“Tiada justifikasi yang munasabah atau sah untuk mengubah perintah itu kerana ia tidak mengubah keadaan,” katanya ketika menyampaikan keputusan Mahkamah Tinggi.
Hayatul turut memaklumkan temubual dengan kanak-kanak terbabit secara individu dan bertiga di kamar hakim pada 27 Sept mendapati mereka tidak berhasrat untuk kekal sebagai orang Islam.
MAIPs meminta ia diberi akses kepada kanak-kanak terbabit – dua perempuan kembar berusia 15 tahun dan seorang lelaki berumur 11 tahun – sekali setiap dua minggu untuk memberikan pendidikan Islam dan dilibatkan dengan perayaan keagamaan.
Ia juga mahu membawa kanak-kanak lelaki ke masjid berdekatan untuk solat Jumaat, memberikan bantuan kewangan kepada tiga kanak-kanak itu, dan elaun kepada Loh selaku penjaga.
MAIPs memohon untuk mencelah dalam perintah hak penjagaan tiga beradik itu yang diperoleh Loh, tahun lepas.
Ini selepas Mahkamah Tinggi memerintahkan kanak-kanak terbabit diserahkan kepada Loh, pada tahun sama.
Pada 6 Julai 2020, tiga kanak-kanak itu dibawa oleh bapa mereka yang memeluk Islam, Muhammad Nagahswaran Muniandy, ke Perlis di mana agama mereka ditukar tanpa kebenaran ibu mereka.
Mahkamah Persekutuan pada 2018 membatalkan pertukaran agama kanak-kanak secara sepihak, dan menetapkan bahawa sebarang pertukaran agama memerlukan persetujuan ibu dan bapa.