
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Mohd Ali Hassan berkata pihaknya juga bimbang ketagihan nikotin akan menjurus kepada masalah penagihan dadah pada awal usia kerana terdapat laporan cecair vape mengandungi campuran dadah.
“PIBGN sangat bimbang dengan situasi masalah merokok yang berlaku pada ketika ini apabila ada kanak-kanak seawal usia sembilan tahun sudah mula terjebak menggunakan produk merokok terutamanya vape.
“Tanpa adanya peruntukan RUU ini dan kawalan terhadap produk vape, pintu kepada penagihan dadah akan terbuka selebar-lebarnya,” katanya dalam kenyataan.
Pada Isnin lalu, pembentangan undang-undang itu yang dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat ditangguhkan kepada suatu tempoh yang tidak dimaklumkan.
Undang-undang dicadangkan itu bertujuan mengharamkan penggunaan, pembelian dan penjualan rokok serta produk vape kepada individu lahir selepas 2007.
Ali berkata, tanpa GEG usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan dalam kalangan B40 dilihat semakin sukar kerana kajian Kementerian Kesihatan mendapati sebanyak 66% perokok adalah dalam kalangan kumpulan itu.
“Kerajaan mesti mempunyai iltizam yang kuat bukan sekadar menoktahkan kemiskinan tetapi menoktahkan juga penghisap rokok dan vape yang baru supaya negara dalam dua dekad mendatang dapat melahirkan generasi yang sihat dan bebas dari permasalahan berantai berpunca daripada rokok dan vape.”
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendapati penggunaan vape dalam kalangan remaja melonjak naik daripada 9.8% pada 2017 kepada 14.9% pada 2022.