Siap siaga hadapi banjir di Pantai Timur, kata Fadillah

Siap siaga hadapi banjir di Pantai Timur, kata Fadillah

Timbalan perdana menteri berkata semua kemudahan termasuk makanan, pengangkutan dan logistik mesti siap siaga bagi berdepan ancaman banjir.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata semua agensi kerajaan perlu membuat perancangan rapi susulan monsun timur laut yang berpotensi menyebabkan banjir di Pantai Timur terutama di Kelantan. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mengarahkan semua agensi kerajaan melakukan perancangan teliti dan siap siaga, bagi menghadapi monsun timur laut di Pantai Timur.

Beliau berkata perkara itu susulan monsun timur laut akan menyebabkan berlakunya bencana banjir di Pantai Timur, khususnya di Kelantan.

“Pastikan kita bersiap siaga bukan sahaja pasukan keselamatan, tetapi semua agensi terlibat.

“Pertama kalau berlaku banjir di mana pusat pemindahan sementara (PPS), apakah bantuan yang perlu disediakan, termasuklah kemudahan pengangkutan untuk mengangkat dan memindahkan orang dari tempat banjir ke PPS, makanan dan semua logistik itu perlu siap siaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat ketua-ketua jabatan dan agensi persekutuan negeri Kelantan.

Terdahulu dalam ucapannya, Fadillah berkata penekanan harus diberikan kepada perancangan persediaan dalam menghadapi musim bencana yang mendatang.

Beliau berkata keselamatan serta kebajikan mangsa perlu dititik beratkan selain kesiapsiagaan semua agensi, khususnya pemberi bantuan dalam menguruskan sumber dan logistik.

Fadillah berkata semua jabatan dan agensi, perlu memberikan sepenuh sokongan kepada agensi yang terlibat secara langsung seperti Pejabat Daerah, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bomba dan lain-lain pasukan keselamatan yang terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.