Peras ugut ahli perniagaan RM1.8 juta, lelaki ditahan

Peras ugut ahli perniagaan RM1.8 juta, lelaki ditahan

Sumber berkata mangsa lambat membuat laporan polis kerana diugut dan dalam trauma selepas kejadian itu.

Mangsa membuat laporan polis 5 Okt lalu mendakwa dilarikan dari rumah rakannya pada 16 Jun oleh penjenayah yang mengacu pisau dan menutup kepalanya dengan kain.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan kerana dipercayai memeras ugut seorang ahli perniagaan RM1.8 juta di Ampang Hilir, Kuala Lumpur pada 16 Jun lalu.

Ketua Polis Wangsa Maju, Ashari Abu Samah mengesahkan laporan kejadian itu sudah diterima.

“Suspek berjaya ditahan dan kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya menurut Harian Metro.

Sumber dipetik akhbar itu berkata, mangsa berusia 28 tahun membuat laporan pada 5 Okt lalu mendakwa dilarikan dari rumah rakannya oleh penjenayah 38 tahun yang mengacu pisau dan menutup kepalanya dengan kain.

“Mangsa kemudian dipaksa menaiki sebuah kereta bersama rakannya dan dibawa ke satu lokasi tidak dikenal pasti. Penjenayah menendang dan memaksa mangsa menyerahkan jam tangan sebelum dia dihantar pulang.”

Beliau berkata, penjenayah itu meminta mangsa menyerahkan RM1.8 juta wang tunai keesokannya.

Takut dengan ugutan itu, katanya, mangsa memberikan wang berkenaan dan jam tangan yang dirampas itu dipulangkan penjenayah terbabit beberapa hari kemudian.

“Ahli perniagaan itu memaklumkan dia lambat membuat laporan polis kerana diugut dan dalam trauma berikutan kejadian itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.