Guna gelaran Datuk Seri palsu, penganggur dipenjara 2 tahun

Guna gelaran Datuk Seri palsu, penganggur dipenjara 2 tahun

Tertuduh meminta mahkamah memberikan hukuman penjara minimum kerana tiada wang, mempunyai tiga anak masih bersekolah dan menghidap kencing manis.

Tertuduh didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri tanpa menerima sebarang anugerah darjah kebesaran membawa gelaran itu dari Pahang bagi maksud perniagaan pada 19 April 2018. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah menggunakan gelaran Datuk Seri palsu pada 2018.

Berita Harian melaporkan Imran Tolot, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Hayda Faridzal Abu Hasan.

Dia didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri tanpa menerima sebarang anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran itu dari Pahang bagi maksud perniagaan di Hotel Amansari Bandar Penawar, kira-kira 11 pagi 19 April 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang, Gelaran Atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 (Enakmen 18) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 3(3) enakmen sama.

Imran yang tidak diwakili peguam meminta mahkamah memberikan hukuman penjara minimum kerana tiada wang disebabkan tidak bekerja, selain mempunyai tiga anak masih bersekolah dan menghidap kencing manis serta urat saraf boleh menyebabkan lumpuh.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi berkata, kesalahan menyalahgunakan gelaran palsu itu mencemarkan nama institusi kesultanan Pahang dan jika tidak dicegah, kesalahan sama boleh diulang orang lain.

Hakim menetapkan hukuman penjara dua tahun bermula tarikh tangkapan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Kota Tinggi, Nik Azaham Nik Aziz semalam berkata lelaki itu ditahan 4 Okt lalu kerana dipercayai menawarkan kontrak membekalkan makanan kepada Projek Rapid Petronas Pengerang yang tidak wujud.

“Polis merampas satu kad ahli Setia Diraja Pahang atas nama suspek, seunit telefon bimbit dan beberapa dokumen. Hasil semakan mendapati suspek tidak dikurniakan gelaran Datuk Seri oleh mana-mana institusi diraja.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.