Rampas pistol dadah, remaja antara 2 suspek ditahan

Rampas pistol dadah, remaja antara 2 suspek ditahan

Suspek diberkas selepas kereta dinaiki mereka ditahan di sekat pintas di Kampung Simpangan, Tumpat semalam.

Menurut polis, semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Ahad hingga 14 Oktober untuk tindakan lanjut.
PETALING JAYA:
Remaja 17 tahun antara dua diberkas Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan, semalam, yang merampas sepucuk pistol dan pelbagai jenis dadah selepas kereta mereka ditahan di sekat pintas di Kampung Simpangan, Tumpat semalam.
Dia bersama seorang lagi suspek berusia 28 tahun itu ditahan pada 2 pagi.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, pihak berkuasa turut menemukan satu liter cecair kodiena dalam kereta terbabit.

Katanya, pasukan itu turut dipandu arah oleh kedua-dua suspek pada 4 pagi sebelum menyerbu sebuah rumah di Jalan JKR Pasir Mas.

“Pemeriksaan lanjut ke atas rumah itu telah menjumpai sepucuk pistol jenis Revolver Smith & Wesson bersama tujuh butir peluru dan lima kelongsong peluru.

“Turut ditemui 147 biji pil yaba, ecstasy (2 biji), ganja (14 gram) dan pil epam (1,100 biji),” katanya dalam kenyataan, menurut Sinar Harian.

Zaki memberitahu, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM5,101 dan saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil semakan rekod mendapati salah seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

Susulan dua serbuan itu katanya, polis juga menahan seorang lelaki berusia 50 tahun dan merampas 30 biji pil yaba dan herion (4.95 gram) dalam serbuan di Kampung Padang Tola, Pasir Mas, pada 5.30 pagi.

“Hasil ujian saringan awal ke atas suspek mendapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Ahad hingga 14 Oktober untuk tindakan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.