
Beliau berkata, pengurangan pemegangan dalam Boustead akan memberi impak positif jangka panjang kepada LTAT yang menguruskan dana pencen untuk angkatan tentera itu.
Katanya, impak positif itu termasuk meningkatkan kepelbagaian aset daripada hampir 50% kepada 15% saja bagi Boustead dan meningkatkan pelaburan aset mudah cair daripada hanya 20% kepada sekurang-kurangnya 60%.
“Ia juga termasuk memperoleh semula jumlah pelaburan LTAT dalam Boustead sebanyak RM3.3 bilion bagi membolehkan LTAT melabur semula dalam aset berdaya saing dan mampu memberi pulangan stabil dan konsisten serta meningkatkan nilai aset pelaburannya yang kini bernilai RM10 bilion melalui program penstrukturan semula Boustead.”
Beliau berkata demikian dalam sesi penerangan menteri mengenai isu dan cabaran dihadapi LTAT di Dewan Rakyat.
Mohamad berkata, sekiranya penstrukturan itu tidak dilaksanakan, Boustead tidak berupaya melunaskan obligasi kewangan dan akan mencetuskan “cross default” (kemungkiran silang) ke atas semua pinjaman di bawahnya sebanyak RM6.8 bilion.
Katanya, Boustead juga berisiko berdepan muflis yang boleh mengakibatkan separuh daripada nilai dana persaraan LTAT, iaitu hampir RM5 bilion, merosot dan terhapus.
Mengenai cadangan tawaran am ke atas semua saham anak syarikat Boustead, Boustead Plantations Bhd, beliau berkata, Kementerian Kewangan bersetuju menyediakan jaminan kerajaan kepada LTAT bagi mendapatkan pinjaman RM2 bilion daripada institusi kewangan untuk melaksanakan tawaran itu.
“Bagi memastikan jaminan kerajaan ini dimanfaatkan, saya akan memastikan pihak LTAT melaksanakan penstrukturan mengikut Pelan Strategik 2023-2025.”