Penasihat khas, bekas timbalan KM dakwa Chow kelirukan rakyat berkait jualan tanah

Penasihat khas, bekas timbalan KM dakwa Chow kelirukan rakyat berkait jualan tanah

Lee Kah Choon dan P Ramasamy menyifatkan kenyataan Chow Kon Yeow mengenai perjanjian Umech 'tidak adil dan menjejaskan reputasi profesional mereka'.

Chow Kon Yeow mendakwa keputusan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang menjual tanah itu kepada Umech Construction dibuat berdasarkan ‘penilaian wajar’.
PETALING JAYA:
Penasihat khas Chow Kon Yeow, Lee Kah Choon dan bekas timbalan ketua menteri, P Ramasamy mendakwa ketua menteri Pulau Pinang itu mengelirukan rakyat berhubung penjualan sebidang tanah milik kerajaan negeri di Batu Kawan kepada sebuah syarikat swasta.

Ramasamy dan Lee dalam kenyataan bersama berkata, kenyataan terdahulu Chow berhubung perjanjian tanah itu “tidak adil dan menjejaskan reputasi profesional mereka”.

Pada 3 Okt lalu, Chow mendakwa keputusan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menjual tanah itu kepada UMECH Construction Sdn Bhd (Umech) dibuat berdasarkan “penilaian wajar”.

PDC ialah badan berkanun yang ditubuhkan kerajaan Pulau Pinang dan dipengerusikan Chow.

Chow turut mendakwa sebuah “jawatankuasa kecil” terdiri daripada Ramasamy, Lee dan bekas timbalan ketua menteri Abdul Halim Hussain bermesyuarat pada 28 Nov 2022 untuk membincangkan cadangan Umech.

Katanya, “jawatankuasa” itu membangkitkan cadangan kerjasama dengan Umech untuk diluluskan PDC pada 9 Feb.

Ramasamy dan Lee mendakwa mesyuarat itu, yang dipengerusikan Chow, tidak berhasrat menilai sama ada Umech sesuai diberikan kontrak itu.

“Malah, ia adalah mesyuarat untuk Umech memberi butiran lanjut mengenai cadangan pembangunan mereka.”

Mereka berkata, mesyuarat itu memutuskan Umech akan menjalankan tinjauan pasaran, mengkaji komposisi penggunaan tanah dan menyediakan bukti kemampanan kewangannya.

Ramasamy dan Lee turut mendakwa dalam mesyuarat itu, pengurusan PDC diminta “membentangkan semula kepada lembaga pengarah PDC” bagi perbincangan lanjut selepas maklumat diperlukan diperoleh.

Chow sebelum ini berkata, PDC pada awalnya mahu menjalin usaha sama bagi membangunkan sebuah taman perindustrian, tetapi tiada syarikat berminat dengan projek itu.

Umech kemudian menyuarakan minat membangunkan tanah itu apabila idea dibangkitkan delegasi Pulau Pinang di Ekspo Dubai 2020.

Syarikat itu berjaya meyakinkan PDC bahawa pembiaya dari Dubai akan menyokongnya dari segi kewangan.

Chow berkata, mencari pelabur untuk projek itu mencabar kerana tanah tersebut bersebelahan tapak pelupusan Pulau Burung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.