Masjid seliaan Jakim anjur solat hajat Palestin malam ini

Masjid seliaan Jakim anjur solat hajat Palestin malam ini

Mohd Na’im Mokhtar juga seru solat hajat dibuat di masjid dan surau negeri masing -masing mendoakan kesejahteraan umat Islam Palestin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, berkata solat hajat akan dilakukan selepas solat isyak, malam ini.
PUTRAJAYA:
Masjid seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Masjid Negara serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin akan mengadakan solat sunat hajat dan membaca doa Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam di Palestin, selepas solat isyak malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, berkata masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut diminta untuk melakukan solat hajat pada tarikh dan waktu sama.

“Saya menyeru supaya seluruh umat Islam menunaikan solat sunat hajat dan membaca doa Qunut Nazilah serta bermunajat untuk saudara-saudara Islam di bumi Gaza, Palestin,” katanya dalam kenyataan.

Na’im turut menyeru majlis dan jabatan agama Islam negeri untuk bersama-sama menyahut saranan berkenaan dengan mengadakan solat hajat di masjid dan surau di negeri masing-masing.

Pada Sabtu, Ketua Tentera Hamas Mohammed Al-Deif mengisytiharkan permulaan operasi ketenteraan dinamakan Operasi Banjir Al-Aqsa untuk menentang Israel susulan serangan roket bertubi-tubi dari Semenanjung Gaza.

Rentetan itu, tentera Israel melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap Hamas di Semenanjung Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.