Majoriti BN turun di Pelangai kerana fitnah pembangkang, kata Zahid

Majoriti BN turun di Pelangai kerana fitnah pembangkang, kata Zahid

Pengerusi BN itu berkata, apa yang lebih penting, kemenangan gabungan itu pada PRK bukanlah sesuatu yang kecil.

Zahid Hamidi berkata, mana-mana calon BN akan melihat majoriti berkurangan dengan segala fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang.
KUALA LUMPUR:
Majoriti Barisan Nasional (BN) lebih rendah pada PRK Pelangai berbanding PRU15 disebabkan fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang, kata Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu berkata, perkara ini sudah dijangkakan apabila melihat jenis kempen yang dijalankan oleh pembangkang bagi pertandingan kerusi DUN di Pahang itu sejak dua minggu lepas.

“Dalam mana-mana PRK sekalipun, siapa pun calon, jika diterjah fitnah dan isu, pasti majoriti (BN) akan terjejas,” katanya kepada pemberita di Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya (UM).

Bagaimanapun, katanya, apa yang lebih penting, kemenangan BN di Pelangai bukanlah sesuatu yang kecil.

“Kami berterima kasih kepada kepimpinan BN dan juga rakan-rakan kami dari parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan,” kata Zahid.

Pada Sabtu, calon BN Amizar Abu Adam, 53, memenangi PRK Pelangai dengan majoriti 2,949 undi selepas memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat (yang memperoleh 4,375 undi) dan calon bebas Haslihelmy DM Zulhasni (47).

Susulan pengumuman keputusan itu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menegaskan BN gagal menambah sokongan walaupun memenangi PRK, memandangkan majoritinya lebih rendah berbanding PRU15 November lepas.

Beliau berkata, keputusan itu terus membuktikan tidak berlaku pemindahan undi antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.

Tambahnya, prestasi PN pada PRK ini lebih baik berbanding PRU15, dengan pertambahan 1,115 undi, manakala BN menyaksikan majoritinya berkurangan daripada 4,048 undi pada PRU kepada 2,949 pada PRK.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.