Lee Kah Choon dah letak jawatan penasihat saya, kata Chow

Lee Kah Choon dah letak jawatan penasihat saya, kata Chow

Ketua menteri Pulau Pinang berkata Lee Kah Choon menyuarakan hasrat untuk memberi tumpuan kepada hal peribadinya sebelum PRU15.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata Lee Kah Choon (gambar) meletak jawatan sebagai penasihat khas pelaburan dengan notis sebulan.
PETALING JAYA:
Lee Kah Choon meletak jawatan sebagai penasihat khas pelaburan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dengan notis sebulan.

Dalam kenyataan, Chow berkata Lee menyerahkan surat peletakan jawatannya pada 2 Okt dan beliau juga meletak jawatan sebagai ahli lembaga pengarah Invest Penang.

Ketua menteri itu berkata, Lee menyuarakan hasratnya untuk memberi tumpuan kepada hal peribadinya sebelum PRU lalu.

Beliau berkata, Lee juga menyatakan kesediaan untuk melepaskan semua jawatan dipegangnya selepas Chow dilantik semula sebagai ketua menteri untuk penggal kedua.

Selain Invest Penang, Lee juga adalah ahli lembaga Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Penang Hill Corporation.

“Pada 26 Sept, saya memaklumkan Lee bahawa beliau telah digantikan sebagai pengarah PDC berikutan pelantikan baharu dalam lembaga pengarah.

“Pada 27 Sept, dia menjawab bahawa dia memahami situasi itu.

“Bagi pihak kerajaan Pulau Pinang, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lee atas sumbangan besarnya kepada pembangunan negeri,” kata Chow.

Terdahulu, Lee dan bekas timbalan ketua menteri P Ramasamy menuduh Chow mengelirukan orang ramai berhubung penjualan sebidang tanah milik kerajaan di Batu Kawan kepada sebuah syarikat swasta.

Pada 3 Okt, Chow mendakwa keputusan PDC menjual tanah itu kepada UMECH Construction Sdn Bhd (Umech) dibuat berdasarkan “penilaian wajar”.

PDC ialah badan berkanun ditubuhkan kerajaan Pulau Pinang dan dipengerusikan Chow.

Chow turut mendakwa sebuah “jawatankuasa kecil” terdiri daripada Ramasamy, Lee dan bekas timbalan ketua menteri Abdul Halim Hussain bermesyuarat pada 28 Nov 2022 untuk membincangkan cadangan Umech.

Dalam kenyataan bersama, Ramasamy dan Lee mendakwa mesyuarat itu, yang dipengerusikan Chow, tidak berhasrat menilai sama ada Umech sesuai diberikan kontrak tersebut dan ia adalah mesyuarat untuk Umech memberi butiran lanjut mengenai cadangan pembangunan mereka.

Mereka berkata, mesyuarat itu memutuskan Umech akan menjalankan tinjauan pasaran, mengkaji komposisi penggunaan tanah dan menyediakan bukti kemampanan kewangannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.