Kurang wakil wanita punca gimnas Terengganu bersara, kata Ahli Parlimen DAP

Kurang wakil wanita punca gimnas Terengganu bersara, kata Ahli Parlimen DAP

Ini menyusul laporan gimnas wanita Muslim Terengganu bersara daripada sukan itu disebabkan dasar patuh syariah dilaksanakan kerajaan negeri.

Syerleena Abdul Rashid berkata mempunyai lebih ramai wanita dalam jawatan pucuk pimpinan politik boleh membantu merangka dasar menggalakkan kesamaan jantina. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Keadaan mungkin berbeza bagi gimnas wanita Muslim Terengganu jika wanita menjadi sebahagian proses membuat keputusan, kata seorang wakil rakyat DAP.

Ahli Parlimen Bukti Bendera, Syerleena Abdul Rashid, berkata kerajaan Terengganu pimpinan PAS sekian lama kekurangan wakil wanita.

Ini menimbulkan persoalan berhubung keadilan dan keberkesanan dasar menjejaskan hak wanita, khasnya membabitkan etika pemakaian dan kebebasan individu.

“Mempunyai lebih ramai wanita dalam jawatan pucuk pimpinan politik boleh membantu merangka dasar menggalakkan kesamaan jantina dan melindungi kebebasan individu,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Syerleena berkata penting untuk negeri seperti Terengganu mempertimbangkan pendekatan mereka dalam hal ehwal dan kepimpinan wanita.

Kenyataannya menyusul laporan FMT Jumaat lalu berhubung beberapa gimnas wanita Muslim dari Terengganu bersara susulan keputusan kerajaan negeri melaksanakan perintah pada 2019 melarang wanita menyertai acara gimnastik disebabkan pakaian tidak patuh syariah.

Presiden Persatuan Gimnastik Terengganu, Abdul Razak Mat Amin, dilaporkan berkata dasar itu berkuat kuasa tahun lalu.

Hanya empat gimnas wanita Muslim menerima tawaran kerajaan negeri menyertai acara wushu bagi Sukma 2024.

Syerleena berkata ketiadaan wanita dalam peranan berpengaruh memberi kesan kepada gadis yang tiada tokoh wanita terkemuka untuk dicontohi.

“Ini secara tidak langsung mengukuhkan stereotaip dan menyekat aspirasi anak gadis ini.”

Beliau membidas kenyataan menghina dan kritikan dihadapi atlet wanita mengejar impian mereka yang disifatkan tidak menghormati wanita dan kurang empati.

“Insiden terbaharu membabitkan gimnas itu patut menyedarkan masyarakat untuk bersikap lebih menerima dan menghormati pilihan individu.

“Budaya kritikan toksik hanya menghalang wanita mencapai potensi penuh mereka dan negara kita tidak patut ikuti laluan ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.