
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, pihaknya sentiasa menjalankan tugas dengan tegas dan profesional mengikut bidang kuasanya.
“Untuk makluman, SPRM giat menjalankan siasatan ke atas isu membabitkan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan usaha pemulihan aset 1MDB oleh kerajaan,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, kertas siasatan itu dibuka pada 3 Okt lalu selepas menerima maklumat.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Kelmarin, SPRM dilaporkan sedang menyiasat pembabitan beberapa individu didakwa terbabit rasuah dan pengubahan wang haram dalam usaha pemulihan aset 1MDB oleh kerajaan.
Menurut laporan, peguam itu antara individu didakwa menerima sejumlah wang dikatakan dilaburkan dalam sebuah syarikat menjalankan pelaburan tidak berlesen yang pernah diambil tindakan oleh Bank Negara pada 2021.
Peguam terbabit juga dikatakan dilantik oleh 1MDB bagi menyelesaikan isu aset 1MDB dengan syarikat luar negara.