Pelancong tempatan gemar inap desa, sewa jangka pendek, kata pengendali Airbnb

Pelancong tempatan gemar inap desa, sewa jangka pendek, kata pengendali Airbnb

Mereka berkata, penginapan sewa jangka pendek memenuhi permintaan pelancong yang tidak dapat menempah bilik hotel pada waktu puncak.

Seorang pegawai kerajaan Sabah mencadangkan larangan sewa jangka pendek selepas pasangan dari China melaporkan penemuan kamera tersembunyi dalam soket dinding. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Dua pengendali Airbnb gusar pendapatan mereka akan terjejas jika kerajaan Sabah meneruskan cadangan melarang sewa jangka pendek.

Pemilik FR Residence, Farra Syazliyana, yang mempunyai beberapa bilik untuk disewa di sekitar Kota Kinabalu, berkata Airbnb memenuhi keperluan pengunjung yang tidak dapat menempah bilik hotel pada waktu puncak seperti musim cuti sekolah.

“Airbnb boleh menampung pelancong seperti ini,” katanya kepada FMT sambil menambah antara 50% hingga 60% pendapatan tahunannya diraih ketika cuti sekolah.”

Ketika musim percutian, katanya, kadar bilik boleh meningkat lebih RM40 dengan tetamu hanya tinggal semalaman dalam kebanyakan kes.

“Jadi, larangan itu akan memberi kesan teruk kepada perniagaan saya jika ia dilaksanakan dan pendapatan bulanan saya akan merosot kerana tidak dapat menerima sewa jangka pendek.”

Beliau berkata, larangan itu juga akan memberi kesan terhadap industri pelancongan negeri itu memandangkan pelancong tempatan cenderung mengembara dalam kumpulan besar dan lebih suka inap desa atau menyewa jangka pendek.

Katanya, larangan yang dicadangkan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Joachim Gunsalam itu menyukarkan pemilik inap desa.

Gunsalam mencadangkan larangan itu susulan laporan kamera tersembunyi dikesan dalam soket dinding di bilik Airbnb disewa pasangan dari China.

Pemilik inap desa D’Sri Gayang, Aida Amirah berkata larangan itu menyukarkan mereka mencari penyewa.

“Lebih mudah mencari penyewa mahu menginap kurang dari seminggu berbanding mereka yang ingin menginap untuk jangka panjang.”

Katanya, pendapatan lebih rendah akan menjejaskan hasratnya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan beliau setuju pelancong tempatan biasanya mahu menginap beberapa hari saja, “jadi larangan sewa jangka pendek akan memberi kesan kepada pendapatan saya”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.