804 anggota, pegawai polis kena hukuman tatatertib tahun ini

804 anggota, pegawai polis kena hukuman tatatertib tahun ini

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Azri Ahmad berkata daripada jumlah itu, 69 orang dibuang kerja.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Azri Ahmad berkata data hukuman tatatertib itu menunjukkan ketegasan dalam mengambil tindakan terhadap salah laku warga polis bukan ‘retorik’ semata-mata.
PETALING JAYA:
Seramai 804 pegawai dan anggota polis dikenakan hukuman tatatertib bagi lapan bulan pertama tahun ini, dengan 69 daripadanya dibuang kerja.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Azri Ahmad berkata sepanjang tempoh itu, 475 anggota dan pegawai diberikan amaran, denda (144), lucut hak emolumen (84), tangguh pergerakan gaji (16), turun gaji (8) dan turun pangkat (8).

Dalam tempoh sama, katanya, 611 pegawai dan anggota pula ditahan kerja, manakala 173 orang digantung kerja.

“Sebanyak 2,354 kertas siasatan tatatertib dibuka sejak Januari hingga Ogos lalu.

Azri Ahmad.

“Data hukuman tatatertib itu menunjukkan ketegasan dalam mengambil tindakan terhadap salah laku warga polis bukanlah ‘retorik’ semata-mata,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengeluarkan arahan “total enforcement” berkaitan Peraturan 3C Peraturan- peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993 pada 26 Ogos lalu.

Katanya, arahan itu ialah peringatan serius kepada pegawai polis bahawa kegagalan menjalankan tanggungjawab penyeliaan terhadap anggota bawahan, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut peraturan tatatertib.

Azri mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain semalam yang memberi amaran keras kepada pegawai bawahannya berhenti bersekongkol dengan sindiket jenayah kerana ada yang sanggup menjual nyawa rakan demi duit imbuhan daripada sindiket.

Katanya, ia disebabkan tiada penyeliaan di bawah (peringkat kontinjen dan daerah) untuk memantau serta melihat cara hidup pegawai dan anggota bawahan mereka.

Mengulas lanjut, Azri berkata, kesalahan pelanggaran undang-undang oleh anggota dan pegawai polis akan disiasat dan dituduh mengikut peruntukan akta.

“JIPS akan menjalankan siasatan tatatertib selari yang boleh berakhir dengan hukuman buang kerja atau turun pangkat dan sebagainya bergantung kepada ‘severity of the cases’.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.