
Bagaimanapun, Qyira Yusri berkata, politik tidak seharusnya diajar sebagai mata pelajaran sendiri.
“Sama seperti bagaimana pilihan raya menjadi sebahagian daripada kehidupan dewasa, demokrasi dan politik boleh dijadikan sebahagian daripada pendidikan,” katanya kepada FMT.
“Sebagai contoh, adakah kita mengadakan pilihan raya untuk memilih pemimpin pelajar? Atau jika sekolah menganjurkan lawatan, bolehkah pelajar mengundi ke mana mereka mahu pergi?”
Pada 2019, Undi18 berjaya dalam usaha menurunkan usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, menyebabkan penambahan kira-kira 1.2 juta pengundi ke dalam daftar pemilih.
Susulan pilihan raya, tercetus kebimbangan bahawa pengundi muda terlalu dipengaruhi propaganda politik di TikTok. Akibatnya, timbul persoalan sama ada mereka cukup dilengkapi maklumat untuk membuat keputusan berpengetahuan ketika membuang undi.
Qyira membangkitkan kebimbangan mengenai saluran tidak formal yang digunakan oleh golongan belia untuk mendapatkan maklumat politik, terutamanya media sosial.
Wujud risiko sumber tidak formal ini akan menyebarkan maklumat yang salah dan palsu, katanya.
“Sekiranya kita terlalu bergantung pada budaya pop, YouTube atau TikTok, kita mungkin mempunyai persepsi yang sesat tentang dunia dan bagaimana ia berfungsi,” katanya kepada FMT.
Qyira mengaitkan sedikit kesedaran politik golongan belia yang terhad dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku). Beliau berkata, yang ironiknya, universiti – pusat pengetahuan dan pembelajaran tentang dunia – cenderung menyekat pelajar daripada menyatakan pendapat secara terbuka dan menyokong perubahan.
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyatakan keraguan tentang inisiatif berkaitan kerajaan untuk menyediakan pendidikan politik, merujuk usaha masa lalu seperti biro sivik negara, yang dimansuhkan semasa beliau menjadi menteri belia dan sukan.
“Kita perlu berhati-hati (melaksanakan pendidikan politik). Namun, adakah ini bermakna kita tak patut buat apa-apa? Tidak, kita mesti buat sesuatu, tetapi cara terbaik adalah melalui desentralisasi dan membenarkan sekolah membuat keputusan,” katanya kepada FMT.
Seperti Qyira, Syed Saddiq berpendapat melaksanakan suatu bentuk demokrasi elektif pada usia muda akan membolehkan pelajar memahami kepentingan dan akibat undi mereka.
Sebagai contoh, pengundian boleh diperkenalkan untuk pemilihan pengawas, makanan atau kegiatan lain dikendalikan sekolah, katanya.
“Golongan muda akan berasa lebih terlibat (apabila) dapat memutuskan apa yang berlaku di sekolah. Bagaimanapun, bukanlah kita katakan demokrasi diamalkan 100% dalam setiap perkara, termasuk memilih mata pelajaran.
“Tetapi yang penting, mereka tahu suara mereka, undi mereka didengar,” katanya.