
Pensyarah UiTM Sabah, Firdausi Suffian berkata Hajiji membentuk pakatan antara Gabungan Rakyat Sabah dengan Pakatan Harapan, di mana penjajaran ini dengan kerajaan persekutuan penting susulan penumpuan kuasa di peringkat pusat.
“Keputusan kerajaan membenarkan Sabah dan Sarawak menentukan pelaksanaan mana-mana projek infrastruktur di bawah RM50 juta di negeri masing-masing petanda pengagihan kuasa pusat secara beransur-ansur,” katanya kepada FMT.
Tetapi, di sebalik kutipan hasil memberangsangkan, Sabah masih berdepan cabaran besar seperti kadar kemiskinan dan pengangguran tinggi, di mana kadar penganggurannya tertinggi di seluruh negara.
“Keadaan ini satu paradoks memandangkan sumber dan sumbangan banyak negeri itu kepada negara.”
Justeru, Firdausi berkata, Sabah sepatutnya memfokuskan pembangunan modal insan, dengan meningkatkan tahap kemahiran, melahirkan lebih ramai pekerja cekap dan mengalihkan tumpuan ke arah industri hiliran yang memerlukan pekerja mahir serta separuh mahir.
Penganalisis politik, Oh Ei Sun berkata Sabah perlu melabur dalam penambahbaikan infrastruktur untuk mencapai hasil rekodnya, selain mempertimbangkan untuk mempercepatkan proses dan kelulusan perniagaan.
Daily Express pada 29 Sept lalu melaporkan hasil Sabah semakin meningkat sejak Hajiji menerajui negeri itu pada 2020. Sehingga Ogos lalu, ia menjana hasil sebanyak RM4.69 bilion, mencapai 89% daripada unjuran hasil RM5.268 bilion bagi tahun ini.
Pertumbuhan memberangsangkan itu akibat royalti lebih tinggi daripada petroleum, cukai jualan negeri ke atas produk petroleum, cukai ke atas minyak sawit mentah, geran kerajaan persekutuan, hasil daripada Jabatan Tanah dan Ukur Negeri serta geran khas Sabah.
Walaupun berdepan beberapa cabaran, termasuk penurunan hasil pada 2020 akibat kejatuhan harga petroleum, Sabah pulih dengan pengenalan cukai ke atas produk petroleum pada 2021. Ia turut menyaksikan peningkatan ketara hasil pada 2021 dan 2022 di bawah pelan pembangunan “Hala Tuju Sabah Maju Jaya”.
Menurut laporan itu, penubuhan SMJ Sdn Bhd, syarikat minyak dan gas Sabah sendiri melalui kerjasama dengan Petronas, memainkan peranan penting dalam mengutip cukai tertunggak serta memperkenalkan sumber pendapatan baharu.