Boleh tutup sekolah tanpa kelulusan PPD jika IPU lebih 200

Boleh tutup sekolah tanpa kelulusan PPD jika IPU lebih 200

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, pihak sekolah tidak perlu menunggu kelulusan, hanya perlu memaklumkan kepada PPD.

Disebabkan jerebu yang melanda negara, pelajar digalakkan memakai pelitup muka di sekolah dan mengurangkan aktiviti di luar rumah.
GEORGE TOWN:
Pihak sekolah boleh menutup sekolah tanpa menunggu kelulusan pejabat pendidikan daerah (PPD) sekiranya keadaan jerebu semakin teruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, pihak sekolah perlu sentiasa memantau kualiti udara dan bacaan IPU melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar.

“Menurut garis panduan KPM dalam usaha menangani situasi jerebu, jika bacaan IPU melebihi 100, tiada sebarang aktiviti luar boleh dilaksanakan di sekolah. Jika ia melebihi 200, sekolah akan ditutup dan pembelajaran perlu dilakukan secara dalam talian.

“Pihak sekolah tidak perlu menunggu kelulusan namun perlu memaklumkan kepada PPD,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Jeti Chew hari ini.

Tambahnya, pemakaian pelitup muka juga digalakkan di sekolah dan pelajar perlu minum air dengan cukup.

Selain itu, Lim turut menasihati ibu bapa agar sentiasa meneliti keadaan kesihatan anak-anak dan mengurangkan aktiviti di luar rumah.

Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi berkata, setakat 9 pagi tadi, tiga daripada empat stesen bacaan IPU di Pulau Pinang merekodkan kualiti udara yang amat baik.

“Saya percaya keadaan jerebu di negeri ini menunjukkan pengurangan kerana hujan turun beberapa hari kebelakangan ini,” katanya.

“Namun, saya telah memberi arahan kepada Jabatan Kesihatan negeri untuk memantau jika terdapat peningkatan kes yang terlibat dengan sistem pernafasan akibat jerebu untuk pihak kami menyusuli dengan tindakan seterusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.