NZ Wheels, Metro Travel & Tours sedia stesen pengecas EV di Shangri-La KL

NZ Wheels, Metro Travel & Tours sedia stesen pengecas EV di Shangri-La KL

Stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) ini langkah awal ke arah masa depan yang lebih mampan.

Stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) tajaan NZ Wheels di Shangri-La KL, mencerminkan komitmen ke arah era mobiliti yang lebih mesra alam.

Kenderaan Elektrik (EV) diuar-uarkan sebagai alternatif yang lebih bersih dan mampan berbanding kenderaan berkuasa bahan api fosil konvensional.

Revolusi penggunaan EV bergerak pantas, dan penglibatan jenama-jenama terkenal amatlah penting dalam menjayakan agenda memulihara dan memelihara bumi.

Pada 14 Ogos yang lalu, Shangri-La Kuala Lumpur memperkenalkan All-Electric Mercedes-Benz EQE terbaru untuk perkhidmatan limosinnya. Langkah ke arah pengangkutan mampan ini hasil kerjasama antara Shangri-La Kuala Lumpur, Mercedes-Benz Malaysia, NZ Wheels, dan Metro Travel & Tours. Hal ini menekankan komitmen mereka terhadap alam sekitar.

Antara tetamu terkenal yang hadir termasuk Naib Presiden Jualan & Pemasaran, Bettina Plangger dan Pengurus Penyelesaian Korporat & Akaun Utama, Clement Yeo dari Mercedes-Benz Malaysia. Manakala NZ Wheels diwakili Ketua Pegawai Operasi, Nithi Vegayathunam dan Ketua Bahagian Jualan, David Tan. Mewakili Metro Travel & Tours pula dua pengurus operasi, Ang Kam Soon dan Toh Sheau Jong, bersama pengarah syarikat, Lillian Yeong.

Acara ini memberikan para VIP peluang untuk berinteraksi dan meluaskan jaringan sosial mereka.

Pengurus Residen Shangri-La, Sachin Tyagi, dan pasukannya meraikan para tetamu dengan mesra dalam sesi minum petang di lounge lobi.

Metro Travel & Tours turut memperkenalkan tambahan baharu bagi barisan EV mereka, iaitu Mercedes-Benz EQE 350+AMG Line. Ianya tersedia di Shangri-La Kuala Lumpur mulai September 2023.

Wakil daripada Mercedes-Benz Malaysia, Metro Travel & Tours, Shangri-La KL dan NZ Wheels bergambar kenangan dalam majlis penyerahan kunci EV sebagai tanda memperingati usaha mereka.

Kenderaan itu diperoleh daripada NZ Wheels, rakan kongsi syarikat sejak 2007. Ini mengukuhkan lagi komitmen Metro dalam menyediakan perkhidmatan pemandu dan pelancongan yang terbaik kepada pelanggan VIP yang terdiri daripada pihak kedutaan, golongan korporat, dan hotel terkenal seperti Shangri-La KL.

Sebagai tanda penghargaan atas pembelian Mercedes-Benz EQE 350+AMG Line dan inisiatif Environmental, Social, and Governance (ESG), NZ Wheels menaja stesen pengecas kenderaan EV kepada Metro Travel & Tours. Stesen pengecas itu diletakkan di Shangri-La Kuala Lumpur, sejajar usaha mesra alam hotel tersebut.

Tetamu dan pelawat yang memandu EV atau plug-in hybrid boleh menggunakan stesen pengecas EV di Shangri-La KL.

Acara berkenaan mempamerkan kerjasama dan komitmen syarikat-syarikat tersebut dalam membentuk masa depan yang lebih mesra alam.

Sachin Tyagi berkata, “Selain menyediakan kemewahan dan keselesaan limosin Mercedes-Benz EQE kepada para tetamu, inisiatif ini juga menunjukkan komitmen kami terhadap kelestarian alam sekitar. Ini hanyalah langkah pertama dalam usaha untuk menggantikan seluruh kenderaan limosin kami kepada kenderaan elektrik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.