
Pengerusinya Mas Ermieyati Samsudin berkata mengikut amalan biasa setiap usul dibawa menteri bertanggungjawab, sebagai contoh Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dibahaskan pada 6 hingga 7 Jun lalu.
Usul itu dibentang Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said. Projek LCS terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pertahanan diketuai Mohamad Hasan.
Menurut Mas Ermieyati, pihaknya akan berbincang dengan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berhubung mekanisme perbahasan.
“Saya berpandangan bahawa laporan PAC wajar dibentang dan digulung pengerusi PAC dan ahlinya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga menyifatkan ruang membahaskan laporan LCS bagi tempoh Okt 2022 hingga Mei lalu di Dewan Rakyat sebagai detik bersejarah, selain memastikan proses semak dan imbang terus berjalan.
“Pertama kali laporan jawatankuasa ini akan dibahaskan berbanding sebelum ini, di mana laporan PAC hanya dibentangkan,” katanya.
Semalam, Johari berkata beliau akan memastikan laporan berkenaan dibahas di Parlimen.
Katanya, PAC telah memberi komitmen memantau perkembangan projek pembinaan LCS itu dan akan menyediakan laporan berkaitannya untuk dibentang di Parlimen.