Jual harga subsidi, Umno Pahang jawab tuduhan agih beras percuma

Jual harga subsidi, Umno Pahang jawab tuduhan agih beras percuma

Ketua Pemuda Umno Pahang Mohd Kamil Ibrahim berkata beras dijual itu daripada program kerajaan negeri dikenali sebagai 'Beras Makmur'.

Menurusi program ‘Beras Makmur’ dilancarkan kerajaan Pahang, satu pek beras putih import 10kg dijual pada harga subsidi iaitu RM25. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Umno Pahang menafikan dakwaan kerajaan negeri mengagihkan beras percuma kepada penduduk ketika kempen PRK DUN Pelangai baru-baru ini.

Ketua Pemuda Umno Pahang, Mohd Kamil Ibrahim, berkata beras itu bukan diberi percuma tetapi dijual dengan harga subsidi dalam program jualan di Pelangai.

Katanya, beras dijual itu daripada program beras bersubsidi kerajaan Pahang dikenali sebagai “Beras Makmur”.

“Inilah kelebihan kerajaan Pahang yang tiada pada mana-mana negeri lain termasuk bawah Perikatan Nasional (PN) yang hanya tahu datang ke sini mereka cerita, fitnah dan tohmahan tidak betul,” katanya menurut Sinar Harian.

Kamil berkata, program itu bukan “gula-gula politik” dan jualan juga akan diadakan di lokasi lain seluruh negeri selepas ini.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Facebook semalam yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengadakan program mengagihkan barangan termasuk beras secara percuma di Pelangai.

Sementara itu, Pengarah Unit Komunikasi Strategik Pahang, Khairul Anwar Ahmad Nadzer, memberitahu menerusi program “Beras Makmur”, satu pek beras putih import 10kg akan dijual pada harga subsidi iaitu RM25.

Hari pengundian PRK Pelangai yang berlangsung esok menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon BN Amizar Abu Adam, Kasim Samat (PN), dan calon bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

PRK Pelangai diadakan susulan kematian Johari Harun, yang juga exco Pahang, dalam nahas pesawat berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos.

Pada PRU15, Johari memenangi kerusi itu untuk BN dalam pertembungan empat penjuru menentang calon PN, PH dan Pejuang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.