Fama dipilih edar beras kerana kejayaan urus krisis ayam, pengerusi bidas Muhyiddin

Fama dipilih edar beras kerana kejayaan urus krisis ayam, pengerusi bidas Muhyiddin

Aminuddin Zulkipli berkata Fama sentiasa bersedia membantu kerajaan menangani sebarang krisis makanan.

Fama membantu mengedarkan beras putih tempatan kepada orang ramai terutama di kawasan lokaliti B40. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiada masalah untuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengedarkan beras putih tempatan bagi menangani krisis bekalannya ketika ini, kata pengerusinya Aminuddin Zulkipli.

Merujuk kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin yang membidas arahan supaya agensi itu membantu mengagihkan makanan ruji berkenaan, beliau berkata Fama dipilih oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu kerana berpengalaman mengurus krisis bekalan ayam dan telur sebelum ini.

“Ya, beras tiada dalam senarai (edaran Fama) tetapi menteri menggunakan kuasa dan kebijaksanaannya mengarahkan semua agensi untuk mengatasi krisis.

“Arahan menteri masih mengikut Akta 141 (Akta Fama 1965), menteri tahu rekod kemampuan Fama ketika menguruskan krisis ayam dan telur,” katanya kepada FMT.

Mengikut Akta Fama 1965, agensi itu bertanggungjawab dalam pemasaran, penggredan, pembungkusan, pelabelan keluaran pertanian seperti kelapa, kopi, sayur-sayuran, dan buah-buahan, sebelum ditambah kepada komoditi ternakan menerusi pindaan tahun lalu.

Selasa lalu, Muhyiddin pada kempen PRK Pelangai mendakwa arahan kepada Fama dalam isu bekalan beras dilihat membebankan peranan dan tugas agensi berkenaan, yang selama ini bertanggungjawab dalam pemasaran produk agro-makanan antaranya sayur-sayuran.

Sekiranya Fama dibebani dengan satu lagi tugas baharu, bekas perdana menteri itu bimbang langkah berkenaan boleh mengganggu urusan pembelian dan pembekalan sayur-sayuran oleh petani khususnya orang kampung yang selama ini diuruskan oleh agensi terbabit.

Aminuddin bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan itu dan menegaskan agensi yang diketuainya sentiasa bersedia membantu kerajaan menangani sebarang krisis makanan.

“Kami tiada masalah tentang penugasan baru ini. Kerana dari segi tugasan, ia masih dalam skop tugasan Fama.

“Fama akan terus agih beras sehingga bekalan pulih. Kalau tak siapa lagi nak buat,” tegasnya, sambil menambah pengedaran BPT kini diperluaskan kepada kedai runcit dan tertumpu kepada lokaliti B40.

Kenaikan harga beras import sejak awal September lalu menyebabkan banyak isi rumah dan peniaga beralih ke beras tempatan sekali gus menjejaskan bekalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.