Fahmi cadangan pendekatan ‘pilih tak serta’ untuk pengguna beralih ke 5G

Fahmi cadangan pendekatan ‘pilih tak serta’ untuk pengguna beralih ke 5G

Menteri komunikasi dan digital itu berkata, hanya lebih 7 juta daripada 45 juta akaun pengguna Malaysia memiliki peranti sedia 5G.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, sekalipun rangkaian 5G boleh terus digunakan, bukan semua orang boleh menggunakannya kerana ketiadaan peranti.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mencadangkan agar pengendali rangkaian mudah alih melaksanakan pendekatan “pilih tidak serta”, berbanding “pilih serta” bagi pengguna yang beralih kepada rangkaian 5G, memandangkan terdapat kos tambahan.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, beliau dimaklumkan hanya lebih 7 juta daripada 45 juta akaun pengguna di Malaysia mempunyai peranti sedia 5G.

Sehingga bulan lepas, liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di negara ini pada tahap 70.2%, dengan langganan 5G berjumlah 2.49 juta, iaitu dengan kadar penembusan 7.4%.

“Jadi sekalipun kita boleh terus pilih serta, bukan semua orang boleh gunakan 5G serta-merta,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan rangkaian persendirian 5G Petronas hari ini.

“Sebab itulah program seperti 5G Rahmah sangat berguna, terutamanya bagi golongan B40, untuk memperoleh peranti 5G supaya mereka dapat menggunakan rangkaian tersebut.”

Pada Ogos, Fahmi berkata, isterinya keberatan untuk beralih menggunakan rangkaian 5G disebabkan ada kos tambahan. Beberapa syarikat telekomunikasi dilaporkan mengenakan caj tambahan antara RM3 dan RM20 untuk akses kepada 5G.

Pada masa itu, beliau berkata, kementeriannya juga akan mengadakan pertemuan dengan pengendali rangkaian mudah alih untuk menangani isu syarikat telekomunikasi mengenakan caj tambahan bagi langganan 5G.

Fahmi kemudian memaklumkan ketua setiausaha kementeriannya telah mengadakan libat urus dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pengendali rangkaian mudah alih berhubung caj tambahan itu.

“Diharapkan dalam tempoh beberapa minggu lagi, akan ada kemas kini berhubung perkara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.