Buruh Myanmar didakwa bunuh penjual buah

Buruh Myanmar didakwa bunuh penjual buah

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Shofi Husson Fozo Rahman, 26, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed.

Shofi Husson Fozo Rahman, 26, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan membunuh Ah Kau @ Yow Chow Chong, 80, di sebuah rumah di Brickfields pada 26 September lalu.
KUALA LUMPUR:
Seorang buruh warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang penjual buah warga emas di sebuah rumah di Taman OUG, Brickfields bulan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Shofi Husson Fozo Rahman, 26, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa membunuh Ah Kau @ Yow Chow Chong, 80, pada 6.30 petang, 26 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam

Mahkamah menetapkan 24 Nov ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Sebelum ini media melaporkan seorang peniaga buah warga tempatan berusia 80 tahun maut akibat ditikam pada beberapa bahagian badan serta muka. Suspek ditahan polis di lokasi kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.