
Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam tadi dikenali Muhammad Fitri Hanif Rohami, 18, Muhammad Shah Run Nizam Jaafar, 20 dan Ahmad Osama Ramadhan Laidin, 17.
Semua mangsa disahkan maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan badan.
Manakala tiga lagi yang cedera ialah Muhammad Afiq Kamal, 19, Muhammad Firzani Hilman Ariffadhillah, 20, dan Muhammad Haziq Haikal Ismail, 17.
Menurut Ketua Polis Dungun, Maizura Abdul Kadir, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Firzani dilanggar sebuah motosikal di bahagian belakang menyebabkan ia terbalik di atas lebuh raya.
Katanya, sekumpulan pemuda bermotosikal yang datang dari arah belakang kemudiannya cuba mengelak namun berlanggar sesama sendiri.
“Motosikal yang ditunggang mangsa merempuh pembahagi lebuh raya yang menyebabkan ketiga-tiganya tercampak di atas jalan. Mereka disahkan meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, badan dan kaki,” katanya menurut Berita Harian.
Maizura berkata, mangsa yang terlibat dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kemaman selepas keluar menikmati nasi lemak di Hentian Rawat & Rehat (R&R) Paka.
Katanya, semua mayat mereka dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera diberi rawatan susulan di hospital sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan,” katanya.