
PETALING JAYA: Pemain skuasy wanita S Sivasangari menyumbangkan pingat emas keempat Malaysia dalam Sukan Asia 2023 selepas menang aksi final penuh dramatik di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou, hari ini.
Pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan itu menewaskan pemain Hong Kong, Chan Sin Yuk 3-2. Ini emas kedua buat jaguh negara itu apabila cemerlang dalam acara berpasukan wanita.
Kemenangan itu bukan mudah apabila Sivasangari tewas set pertama 8-11 sebelum bangkit set kedua dengan kemenangan 15-13 pada set kedua.
Namun Chan kembali mendahului saingan apabila meraih mata kedua hasil kemenangan 12-10 pada set ketiga.
Sivasangari mengheret perlawanan ke set penentuan apabila memenangi set keempat 11-9, sebelum menoktahkan kemenangan pada set kelima yang penuh debaran dengan 12-10.