Speaker akan pastikan laporan LCS dibahas di Parlimen

Speaker akan pastikan laporan LCS dibahas di Parlimen

Johari Abdul berkata demikian susulan komitmen PAC menyediakan laporan berkaitan pembinaan kapal tempur itu untuk dibentang di Parlimen.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul ketika lawatan kerja ke Limbungan Boustead Naval Shipyard, Markas TLDM di Lumut, Perak, hari ini. (Gambar Facebook Johari Abdul)
KUALA LUMPUR:
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata beliau akan memastikan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) tentera laut dibahas di Parlimen.

Beliau berkata, PAC telah memberi komitmen memantau perkembangan projek pembinaan LCS itu dan akan menyediakan laporan berkaitannya untuk dibentang di Parlimen.

Johari berkata, beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Limbungan Boustead Naval Shipyard, Markas TLDM di Lumut, Perak, hari ini dengan diiringi Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin, Naib Pengerusi PAC Wong Shu Qi, dan ahli lain jawatankuasa itu.

“Saya diberi taklimat perkembangan pembinaan kapal tempur pesisir oleh Pengarah Pasukan Projek LCS TLDM Franklin Jeyasekhar Joseph dan Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd Azhar Jumaat,” menurutnya dalam hantaran di media sosial X (Twitter).

Pada 21 Sept, Mas Ermieyati berkata laporan Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua-LCS adalah antara empat laporan akan dibentang pada Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat yang dijadual bersidang bermula 9 Okt.

Katanya laporan itu adalah bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.