Perlindungan sosial, peluang menjana pendapatan adalah kunci utama KSP RMK12

Perlindungan sosial, peluang menjana pendapatan adalah kunci utama KSP RMK12

Menambah baik akses kepada peluang untuk menjana pendapatan lebih banyak dan memperkukuhkan perlindungan sosial adalah penting bagi mengurangkan ketidaksamarataan.

Langkah kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah memasarkan produk mereka menandakan peralihan dalam pembasmian kemiskinan.
PETALING JAYA:
Kajian separuh penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan perlindungan sosial dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menjana pendapatan lebih baik, kata ahli-ahli ekonomi.

Dalam temu bual bersama FMT, dua ahli ekonomi berkata, sebagai salah satu fokus untuk membangunkan masyarakat sejahtera, KSP RMK12 akan meningkatkan usaha untuk membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dan menambah baik akses kepada perkhidmatan asas.

Menurut Yeah Kim Leng dari Sunway Business School, pendekatan seperti ini sejajar dengan sasaran di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf bahawa usaha untuk menoktahkan kemiskinan dan ketersisihan lain harus berjalan seiring dengan usaha menambah baik sektor kesihatan dan pendidikan, mengurangkan ketidaksamarataan, dan memacu pertumbuhan ekonomi mampan.

“Kita patut mengambil kira SDG yang pelbagai seperti pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama, memastikan kehidupan yang sihat, dan pekerjaan yang wajar untuk semua. Adalah penting untuk diperhatikan bahawa KSP RMK12 bertujuan untuk merapatkan jurang dalam semua aspek ini, yang akan membolehkan Malaysia mencapai SDG menjelang 2030,” kata Yeah.

“Semenjak pandemik, golongan berpendapatan rendah telah terjejas teruk kerana tidak mudah bagi mereka untuk mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi negara. KSP RMK12 telah memastikan terdapatnya strategi dan program khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan golongan rentan dalam masyarakat, yang berdasarkan prinsip inklusiviti dan pertumbuhan mampan.”

KSP RMK12 juga bertujuan untuk memastikan golongan berpendapatan rendah lebih berdaya tahan untuk menangani tekanan kos sara hidup dari segi perumahan, penjagaan kesihatan, pendidikan, serta keperluan penting lain, tambah Yeah.

Dari segi sistem perlindungan sosial negara, KSP RMK12 kini mengambil kira pelbagai risiko dan cabaran yang dihadapi oleh rakyat sepanjang hayat mereka, dan menyediakan garis panduan bagi pekerja tidak formal untuk perlindungan sosial lebih komprehensif. Selain itu, skim perlindungan sosial yang merangkumi kecederaan pekerja di luar waktu bekerja, dan tidak berkaitan dengan pekerjaan, juga akan diperkenalkan.

“Menetapkan lantai minimum (untuk perlindungan sosial) adalah salah satu tumpuan khusus yang boleh dicapai oleh kerajaan sepanjang tempoh akhir RMK12,” jelas Yeah.

Aspek tumpuan dalam KSP RMK12 juga termasuk memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan, dengan memperkenalkan penyewaan peralatan perubatan sebagai peralihan besar untuk memastikan ketersediaan peralatan perubatan yang terbaik. Inisiatif ini juga akan mengatasi masalah kos tinggi dalam perolehan dan penggantian peralatan perubatan disebabkan oleh kemajuan teknologi yang pesat.

Usaha juga akan dilakukan untuk meningkatkan bekalan rumah yang berkualiti dan mampu milik dengan menambah baik akses dan menggalakkan perumahan mampu milik yang inklusif, dengan peralihan daripada konsep pemilikan rumah kepada penyediaan tempat tinggal.

Program Sewa Untuk Beli akan diperluaskan bagi meningkatkan akses kepada perumahan, dan kerjasama dengan institusi kewangan akan diteruskan untuk menawarkan pakej pembiayaan perumahan yang menarik dan mampan.

Dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar, sejumlah RM1.5 bilion telah diluluskan untuk menyediakan program dan projek yang mampu menghasilkan pendapatan bagi kumpulan sasar.

Pelbagai inisiatif dan program untuk menoktahkan kemiskinan sedang dilaksanakan seperti Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk penduduk luar bandar, Program Pembangunan Ekonomi Orang Asli, Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah.

Kerajaan juga telah melancarkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang merupakan strategi serampang dua mata yang memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan isi rumah dan menyelesaikan isu struktur ekonomi.

Sehingga 31 Ogos, program IPR telah menerima sebanyak 106,492 permohonan daripada pengusaha yang ingin memasarkan produk makanan mereka dengan menggunakan mesin layan diri (vending machine) serta mendapatkan peralatan dan latihan untuk menghasilkan tanaman strategik seperti cili dan jagung bijirin.

Program ini juga bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang berpatutan, terutama bagi mereka yang terlibat dalam pekerjaan 3D (kotor, berbahaya dan sukar), serta membantu golongan miskin tegar untuk menghasilkan pendapatan tambahan melalui aktiviti pertanian dan perniagaan.

“IPR merupakan satu inisiatif yang baik kerana ia membantu golongan berpendapatan rendah memasarkan produk mereka, dan juga memperkenalkan pendekatan yang baru untuk menoktahkan kemiskinan” kata pensyarah dasar awam UiTM Sabah, Firdausi Suffian.

“KSP RMK12 juga tertumpu kepada mengoptimumkan ekonomi negeri dan luar bandar, yang akan membantu meningkatkan pendapatan penduduk di situ. Dengan rasionalisasi subsidi semasa, ini akan membolehkan kerajaan meneruskan program bantuan tunai, yang akan terjadi disebabkan oleh kos sara hidup yang tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.