
Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang https://mohon.tvet.gov.my, yang diselia Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Beliau berkata, perkara tersebut diputuskan melalui mesyuarat Majlis TVET (MTVET) Bil 3/2023 yang dipengerusikannya hari ini, yang bertujuan menyelaraskan permohonan bagi mengelakkan pertindihan.
“UPTVET ini akan dibangunkan bagi menyelaraskan permohonan kemasukan ke semua institusi TVET, berdasarkan kursus TVET yang diminati peserta serta institusi TVET yang menjadi pilihan mereka,” katanya.
Zahid berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MTVET itu dan kemudiannya menyaksikan pertukaran dokumen memorandum kerjasama transformasi program TVET antara kerajaan bersama syarikat kerajaan dan syarikat swasta.
Sebelum ini, permohonan kemasukan ke institusi TVET dibuat melalui laman sesawang yang disediakan oleh institusi TVET.
Mesyuarat berkenaan dihadiri ahli MTVET, melibatkan menteri daripada 12 kementerian berkaitan TVET, tokoh industri, dan tokoh akademia.
Zahid berkata, mesyuarat turut bersetuju agar semua institusi TVET menawarkan kursus berasaskan teknologi tinggi, termasuk tenaga boleh baharu (TBB) agar peserta yang tamat kursus menepati kehendak pasaran tenaga kerja.
Katanya, nilai kebolehpasaran graduan TVET ketika ini melebihi 92%, dengan 7.5% daripadanya melanjutkan pengajian di peringkat tinggi dan mengikuti kursus profesional dalam bidang TVET.
“Saya harap TVET dijadikan pilihan utama dan masa depan, bagi mengatasi masalah keciciran pelajar serta mengurangkan tahap pengangguran negara,” katanya.
Bagi meningkatkan minat dan mengekalkan peserta yang sedang mengikuti kursus TVET, beliau berkata KSM akan mewujudkan skim pembiayaan termasuk pemberian elaun kepada golongan terbabit.
Zahid berkata, beliau juga telah arahkan Sekretariat TVET, menyediakan satu pelan hala tuju bagi menterjemah dasar TVET negara.