
Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, berkata dakwaan dilemparkan Perikatan Nasional (PN) itu hanya mainan politik fitnah yang diamalkan mereka setiap kali musim pilihan raya.
“Setiap kali pilihan raya, itu sahajalah modal kempen mereka, fitnah sahaja, cipta perkara yang tak benar, macam semalam pembangkang kata ada empat Adun BN nak masuk PN, ada ke? Tak adapun malah semua Adun dah maklumkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada saya.
“Jadi, isu guna jentera kerajaan negeri ini, saya tahu ini cuma fitnah jadi saya serah pada SPR, tak ada masalah untuk siasat (BN Pahang) dan itu memang kerja mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Rumah Rakyat Pahang Fasa 4 Tahun 2023 di Dataran Simpang Pelangai.
Menteri besar Pahang itu diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang mahu SPR menyiasat jentera BN kerana didakwa menggunakan aset dan jentera kerajaan negeri selain memberi insentif kepada rakyat sepanjang tempoh kempen PRK Pelangai.
PRK Pelangai Sabtu ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Amizar Abu Adam, calon PN Kasim Samat dan bebas Haslihelmy DM Zulhashi.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor, 17 Ogos lalu.