Kereta lawan arus, 2 maut di Iskandar Puteri

Kereta lawan arus, 2 maut di Iskandar Puteri

Pemandu Mercedes-Benz yang dipercayai memandu melawan arus turut parah dalam nahas di Jalan Ismail Sultan, Iskandar Puteri.

Polis berkata mangsa maut adalah lelaki dan wanita masing-masing berusia 19 tahun yang menaiki kereta Honda Jazz. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Dua individu maut selepas kereta Honda Jazz dinaiki dipercayai dirempuh sebuah kereta Mercedes-Benz dipandu melawan arus di KM6.4, Jalan Ismail Sultan, Iskandar Puteri.

Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, berkata dalam kejadian 4.20 pagi, mangsa maut merupakan pemandu dan penumpang Honda Jazz, iaitu seorang wanita dan seorang lelaki, kedua-duanya berusia 19 tahun.

Sementara itu, pemandu Mercedes-Benz iaitu lelaki berusia 30 tahun parah dan sampel darahnya telah diambil, bagi tujuan analisa kandungan dadah dan alkohol.

“Punca kemalangan adalah daripada rempuhan kereta Mercedes tersebut, yang dipandu melawan arus.

“Bagaimanapun, polis belum dapat pastikan sama ada pemandu terbabit di bawah pengaruh dadah atau alkohol, kerana masih menunggu keputusan sampel,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, pemandu Mercedes-Benz terbabit dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, kedua-dua mayat mangsa yang maut juga dibawa ke HSA untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Iskandar Puteri, Hairulnizam Mohd Noh dalam kenyataan berasingan, berkata seramai 20 anggota termasuk dari BBP Larkin dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.

Beliau berkata pihaknya membantu mengeluarkan semua mangsa terlibat dari kereta masing-masing dan operasi ditamatkan pada 6.27 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.