
Beliau mengingatkan bahawa PAS bawah pimpinan Presiden Hadi Awang serta timbalan dan tiga naibnya berjaya mempertahankan empat negeri yang diperintah Perikatan Nasional selain menawan 22 kerusi di Selangor pada PRN lalu.
“Apabila pemimpin kami bawa parti ke arah yang lebih kuat, nak tukar buat apa?” soal Fadhli.
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi mendakwa budaya “taasub” kepada pemimpin menyebabkan Hadi dan Tuan Ibrahim Tuan Man, serta Idris Ahmad, Mohd Amar Nik Abdullah dan Ahmad Samsuri Mokhtar mengekalkan jawatan masing-masing.
“Takkan seorang pemain bola sepak dalam keadaan yang sangat cemerlang tiba-tiba dipecat kelabnya?” jawab Fadhli.
Fadhli mengingatkan Puad bahawa bekas presiden Umno, Najib Razak turut menang tanpa bertanding dari 2009 hingga 2018.
“Adakah itu bermakna Umno pun taasub pada Najib sebab menang tanpa bertanding,” katanya.
Ketua Wanita Nuridah Mohd Salleh berkata tidak mempertandingkan sesuatu jawatan kerana tiada pencabar bukanlah perkara luar biasa, dan dinyatakan dalam perlembagaan parti.
“Perkara ini pun biasa dalam PAS. Sejak daripada dulu beberapa jawatan tertinggi tiada yang nak bertanding. Bukan kali ini sahaja,” katanya.
Sementara itu, Amar yang kekal sebagai naib presiden berkata, PAS terbuka jika jawatan tertinggi dicabar, dan perkara itu berbeza dengan Umno yang meluluskan usul supaya jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan.
“Kita pun tak pernah buat larangan. Umno sampai buat ketetapan presiden dan timbalan tidak boleh dicabar,” katanya.