Bukan masa sesuai laksana impian ‘EV mampu milik’, kata penganalisis

Bukan masa sesuai laksana impian ‘EV mampu milik’, kata penganalisis

Penganalisis ekonomi dan automotif senada mengatakan ada keperluan lain yang lebih mendesak, seperti pendidikan.

Penganalisis ekonomi percaya kerajaan wajar kembangkan sistem pengangkutan awam berbanding pemilikan EV. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis ekonomi dan automotif tidak teruja dengan ‘komitmen’ kerajaan dalam memastikan pemilikan kenderaan elektrik (EV) tersedia menerusi subsidi bersasar dan bantuan kewangan.

Nazari Ismail dan Hezeri Samsuri senada mengatakan sekarang bukan masa sesuai untuk membangunkan ekosistem EV kerana keperluan lain seperti pendidikan, kesihatan, dan kemudahan asas lebih mendesak.

Nazari dari Universiti Malaya risau kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan dalam sektor yang sangat penting “semata-mata untuk memastikan ramai memiliki EV”.

“Ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat dalam jangka panjang,” kata pakar ekonomi itu kepada FMT.

Mengingatkan hutang kerajaan mencecah RM1.5 trilion di samping pelbagai subsidi yang ditanggung kerajaan, Nazari percaya tumpuan lebih wajar ditujukan kepada mengembangkan sistem pengangkutan awam.

“Sekarang ini lebih seribu unit kereta dikeluarkan oleh syarikat pembuat kereta tempatan pada setiap hari. Jika ditambah lagi dengan jumlah EV nanti, masalah akan bertambah buruk,” katanya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz baru-baru ini mengumumkan kerajaan akan memastikan pemilikan EV tersedia untuk semua kumpulan berpendapatan menerusi subsidi dan bantuan kewangan, serta mahu meningkatkan prasarana berkaitan pengecasan EV.

Beliau percaya pelaksanaan dasar dan inisiatif itu akan memberi impak positif ke atas industri automotif tempatan.

Hezeri, yang menulis untuk laman automatif terkenal, bagaimanapun meminta kerajaan supaya perbanyakkan lagi kajian impak EV segenap gaya hidup pengguna, bekalan elektrik, prasarana dan ekonomi industri automotif.

“Rakyat masih percaya EV mempunyai cara penggunaan yang sama seperti kereta sedia ada. Pemanduan mungkin sama tetapi dari segi pembelian, penjagaan dan pemilikan berbeza.

“Dari aspek ciri keselamatan, jika sebuah EV terbakar, adakah pihak bomba cukup latihan dan peralatan untuk mengawal situasi tersebut? Adakah kita mempunyai perundangan dan aturan yang betul untuk memasang pengecas di kawasan umum atau di kawasan parkir bawah tanah?” katanya.

Hezeri menyarankan kerajaan supaya mendekati EV dengan cermat memandangkan syarikat-syarikat komponen kenderaan seperti tayar pun masih “terkial-kial” dalam usaha menghasilkan komponen yang sesuai untuk EV.

“Adakah kerajaan yakin mereka lebih mengetahui tentang EV sehingga dengan mudah mahu terus kita beralih kepada EV secara pukal sekarang?” katanya.

Beliau menyarankan langkah lebih praktikal seperti pengukuhan undang-undang, misalnya melindungi kepentingan pengguna apabila kenderaan berulang kali gagal memenuhi standard atau “Lemon Law”.

“Kita masih sangsi bagaimana bateri-bateri terpakai atau rosak boleh diproses semula atau bagaimana ia boleh dilupuskan dengan selamat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.