Ahli perniagaan mengaku tak salah tipu pelaburan kripto RM2.45 juta

Ahli perniagaan mengaku tak salah tipu pelaburan kripto RM2.45 juta

Johnathan Wong Futt Po, 39, didakwa menipu seorang individu menerusi pelaburan wang kripto yang tidak wujud tahun lepas.

Tertuduh, Johnathan Wong Futt Po, 39, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini kerana menipu seorang individu melibatkan pelaburan mata wang kripto berjumlah RM2.45 juta.
KUALA LUMPUR:
Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang individu melibatkan pelaburan mata wang kripto berjumlah RM2.45 juta yang tidak wujud, tahun lepas.

Johnathan Wong Futt Po, 39, didakwa menipu Adrian Sim Kwang Kai (he) untuk membuat pelaburan dalam syarikat Ris Firearm Sdn Bhd dan Colindale International (MM2H) Sdn Bhd sehingga mendorong Sim membuat bayaran berjumlah RM2.45 juta yang dimasukkan ke dalam akaun dompet mata wang kripto milik tertuduh.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Menara Prestige, Jalan Pinang di sini antara 23 Mei dan 3 Ogos 2022. Pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohd Nawi menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Devanandan S Subramaniam yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung isteri dan lima anak berumur antara enam bulan dan 19 tahun.

Hakim Mohd Kafli Che Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Nov depan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.