Pertubuhan peladang mohon tingkat subsidi racun, pengecualian cukai

Pertubuhan peladang mohon tingkat subsidi racun, pengecualian cukai

Pertubuhan Peladang Kebangsaan menyatakan beberapa harapannya bagi Belanjawan 2024.

Pertubuhan Peladang Kebangsaan memohon bantuan subsidi racun ditingkatkan dan pengecualian cukai pendapatan ke atas perbelanjaan modal.
PETALING JAYA:
Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memohon bantuan subsidi racun kepada pesawah ditingkatkan daripada RM200 per hektar kepada RM500 per hektar, bagi mengurangkan pembelian racun tiruan atau tidak diluluskan Lembaga Racun Malaysia.

Ia juga akan mengurangkan kos membeli racun di samping menambah kuantiti dan pilihan racun, kata Pengurus Besar Nafas Muhammad Faris Arriffin.

Nafas mengharapkan peningkatan subsidi ini dalam Belanjawan 2024 yang dijangka akan dibentangkan pada bulan ini, dengan anggaran nilai peruntukan tambahan daripada RM120 juta ke RM300 juta.

“Nafas yang mewakili hampir 1 juta ahli peladang akan bersama-sama dengan kerajaan dalam merealisasikan dasar kerajaan ke arah menjamin keterjaminan makanan negara,” kata Faris dalam kenyataan.

Antara lain Nafas turut memohon penambahan peruntukan daripada RM20 juta ke RM55 juta bagi kawasan pengapuran sekitar 18,000 hektar ke 50,000 hektar, agar pesawah boleh mengapur lebih banyak kawasan sekaligus memendekkan pusingan pengapuran daripada 16 tahun ke 8 tahun.

Menjelaskan kewajaran langkah ini, Faris berkata ia supaya kawasan-kawasan terbabit sentiasa berada pada ukuran keasidan dan kealkalian (pH) yang optimum untuk bertani.

Di samping peruntukan tambahan bagi penyediaan dan menaiktaraf prasarana di kawasan jelapang dan di luarnya untuk menangani banjir, Nafas berharap kerajaan memberikan insentif atau pengecualian cukai pendapatan ke atas perbelanjaan modal, bagi memperluaskan penggunaan jentera untuk mengurangkan isu padi tumpah.

Dalam pada itu, Nafas mengumumkan beberapa inisiatif meningkatkan hasil padi negara di pihaknya, seperti penghasilan formulasi baja baharu dengan unsur organik dan prebiotik dengan kerjasama agensi kerajaan dan institusi pendidikan, dan menyelaras pelbagai peringkat rantaian sumber bagi mengelakkan kelewatan pembekalan dan pengedaran baja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.