Pengusaha pertanian Selangor dapat insentif bernilai RM1,000

Pengusaha pertanian Selangor dapat insentif bernilai RM1,000

500 pengusaha dalam tanaman, ternakan, akuakultur dan industri asas tani serta nelayan akan diberi insentif bernilai RM1,000.

Selangor menyalurkan insentif bagi membantu pengusaha pertanian supaya kadar pengeluaran dapat ditingkatkan. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor akan menyalurkan insentif pertanian sebanyak RM1,000 kepada 500 pengusaha dalam bidang tanaman, ternakan, akuakultur, dan industri asas tani serta nelayan.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata insentif ini bagi membantu komuniti terbabit supaya kadar pengeluaran pertanian dapat ditingkatkan.

“Pemberian ini akan dibuat dalam bentuk tunai sebanyak RM500 manakala baki RM500 akan diberikan dalam menerusi input tanaman, peralatan dan bahan mentah.

“Ia akan akan mula diserahkan pada 31 Okt melalui kerjasama pihak Agro Bank Selangor serta Koperasi Kohijrah Warga Hijrah Selangor Berhad,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco.

Dalam pada itu, Amirudin turut mengumumkan kenaikan elaun bulanan buat 760 imam, daripada RM1,300 kepada RM1,500 yang akan mula dibayar pada 25 Okt.

Bayaran yang akan diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor itu turut menaikkan elaun bulanan para bilal (kepada RM340), nazir (kepada RM300), dan siak (kepada RM290) melibatkan 1,900 penerima.

“Secara keseluruhan, pemberian insentif ini merupakan penambahan sebanyak RM2.964 juta dan akan diperuntukkan secara tahunan sebagai ikhtiar kerajaan negeri dalam menggerakkan syiar Islam,” katanya.

Bagi merealisasikan komitmen utama dalam tempoh 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan-Barisan Nasional, Amirudin berkata kerajaan negeri akan mengecualikan cukai taksiran bagi 426,656 rumah kos rendah dan rumah kampung bagi tempoh penggal kedua dari 1 Jul sehingga 31 Dis.

Ia membabitkan semua pihak berkuasa tempatan negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM29.415 juta. “Bantuan secara bersasar ini diharap meningkatkan pendapatan boleh guna bagi golongan yang memerlukan serta mengurangkan kos sara hidup.”

Sementara itu, dalam persediaan menghadapi monsun timur laut, semua pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya dan badan-badan berkaitan lain dipertanggungjawabkan untuk segera membersihkan saliran, parit, longkang, dan kolam takungan.

Kesegeraan itu bagi membolehkan sistem saliran air berfungsi secara optimum, terutama di kawasan berisiko tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.