
Khaled Nordin berkata sepatutnya idea, dasar, pendekatan baharu dan segar dibantu oleh orang muda dan bertenaga.
“Nampak sangat ketandusan,” kata naib presiden Umno di laman sosial X.
Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata pelantikan Mahathir sebagai penasihat tidak rasmi empat negeri yang diketuai PN adalah untuk mendapatkan pengaruh bekas perdana menteri itu.
Menurutnya, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin tidak dilantik sebagai penasihat “state government four” atau dikenali sebagai SG4 kerana “beliau memang dah sebahagian daripada kita”.
“Kita nak seramai mungkin orang bersama dengan kita. Setiap orang tu ada dia punya penyokong dia, pengikut dia.
“Jadi orang yang berpengaruh begini kalau boleh bersama kita, dia akan membina satu gelombang, walau besar atau kecil,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini berkata Terengganu, Kedah, Perlis dan Kelantan bersetuju untuk menjadikan Mahathir sebagai penasihat tidak rasmi.
Peranan Mahathir katanya, adalah untuk menghubungkan empat negeri itu dengan pelabur dari negara seperti Jepun dan Korea Selatan yang mempunyai hubungan baik dengan beliau.