Kazakhstan minat guna kepakaran Malaysia bina pelabuhan

Kazakhstan minat guna kepakaran Malaysia bina pelabuhan

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata ia membuktikan kepakaran Malaysia dalam bidang pembinaan infrastruktur menarik perhatian luar.

Malaysia menerima kunjungan delegasi Kazakhstan sempena Kongres Jalan Sedunia ke-27 2023 anjuran Persatuan Tetap Kongres Jalan Antarabangsa (PIARC) di Prague, Republik Czech. (Gambar KKR)
PETALING JAYA:
Kazakhstan berminat menggunakan kepakaran rakyat Malaysia dalam membina, membangun dan menguruskan infrastruktur pelabuhan di republik itu, kata Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, ia membuktikan kepakaran Malaysia dalam bidang pembinaan infrastruktur turut menarik perhatian luar.

Katanya, hasrat itu akan dibincangkan di peringkat kementerian dan agensi berkaitan, sebelum dipertimbangkan di peringkat Jemaah Menteri.

“Saya amat berharap kerjasama ini dapat direalisasikan yang akan membuka peluang pelaburan kepada kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Timbalan Menteri Pengangkutan bagi Hal Ehwal Jalan Raya Arab Saudi, Badr Abdullah Al-Dulami dan Menteri Pengangkutan Kazakhstan Marat Karabayev.

Pertemuan itu sempena Kongres Jalan Sedunia ke-27 2023 anjuran Persatuan Tetap Kongres Jalan Antarabangsa (PIARC) di Prague, Republik Czech.

Dalam pertemuan bersama delegasi Arab Saudi, Nanta berkata delegasi dua negara berkongsi tekad untuk memperkukuhkan kerjasama strategik dalam aspek keselamatan dan penyelenggaraan jalan di kedua-dua negara.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk terus berhubung lanjut bagi meneroka ruang dan peluang yang boleh dimanfaatkan demi kebaikan bersama,” katanya.

“Delegasi Arab Saudi juga menyatakan minat untuk mempelajari usaha Malaysia berhubung inisiatif keselamatan jalan raya yang ditekankan terutamanya melalui kempen MYJalan yang sedang giat dilaksanakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.