Bincang hal integriti pun mahu berlawan, Ismail gesa ketepi perbezaan

Bincang hal integriti pun mahu berlawan, Ismail gesa ketepi perbezaan

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berharap undang-undang berkaitan integriti seperti RUU pendanaan politik diteruskan oleh kerajaan hari ini.

Ismail Sabri Yaakob memberi amaran polarisasi politik merupakan cabaran utama untuk mewujudkan konsensus berkaitan integriti.
PETALING JAYA:
Perbalahan dan syak wasangka sesama parti politik menjadi penghalang utama merumuskan suatu set standard integriti yang boleh dipersetujui demi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik negara yang semakin merosot, menurut bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perbalahan antara parti politik yang semata-mata hanya cenderung menegakkan agenda masing-masing, menyukarkan sebarang konsensus dicapai mengenai standard integriti dan merujuk kepada kegagalan rang undang-undang pendanaan politik dibentangkan di Dewan Rakyat sehingga sekarang.

RUU berkait sumbangan politik itu dipersetujui secara dasar ketika pentadbiran Ismail dan dicapai setelah beliau mengikat perjanjian persefahaman dan kerjasama dengan pembangkang ketika itu.

“Saya berharap ia diteruskan oleh kerajaan hari ini kerana ia akan menjamin ketelusan dan meningkatkan kepercayaan awam terhadap ahli serta parti politik,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan Persidangan Kebangsaan Integriti dan Tatakelola 2023.

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berucap di perasmian Persidangan Kebangsaan Integriti dan Tatakelola 2023. (Gambar Fail)

Beliau berkata, persefahaman antara pemerintah dan pembangkang ketika itu membantu kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif berkaitan integriti, antaranya Akta Anti Lompat Parti, dan Pelan Tadbir Urus Baik Nasional sebagai pelengkap Pelan Antirasuah Nasional.

Ismail memberi amaran polarisasi politik merupakan cabaran utama untuk mewujudkan konsensus berkaitan integriti.

“Apa yang satu pihak lihat sebagai tindakan integriti, pihak lain melihatnya sebagai gerakan politik. Ini menjadikannya sukar untuk menetapkan standard universal yang diterima oleh semua,” katanya.

Ismail menyeru saluran dialog dibuka melibatkan wakil semua platform politik untuk membincangkan, berdebat, dan bersetuju mengenai set standard universal berkait integriti politik, seperti persidangan hari ini.

“Biarpun berbeza pandangan, kita harus bersama dan bersetuju mengenai satu set standard universal. Kita dapat tunjukkan kepada dunia bahawa integriti melampaui sempadan politik,” tegasnya.

Ditemui pemberita selepas ucaptamanya, Ismail akui undang-undang berkaitan pendanaan politik “agak membahayakan” kepada parti politik, mengambil contoh kes dihadapi Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin di mahkamah.

Menceritakan pengalaman Umno sendiri, Ismail berkata yuran keahlian hanya RM1 sekali seumur hidup dan parti itu dilarang berniaga.

“Apabila parti mendapat sumbangan ianya memang pada hari ini sukar kerana ia boleh dianggap sebagai suatu kesalahan jenayah. Tentu sahaja menyukarkan parti politik.

“Kalau kita nak telus, maka perlu ada akta pendanaan politik ini supaya setiap yang kita dapat itu dapat kita isytiharkan dan boleh kumpul untuk parti,” katanya.

Muhyiddin mengaku tidak bersalah terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi milik Bersatu, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkait dana yang dimasukkan ke akaun milik parti itu. Mahkamah pada Ogos melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.