
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang menyuarakan berhubung penjualan itu dalam perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bulan lalu, berkata kerajaan mesti menjelaskan tindakan seterusnya.
“Saya mengalu-alukan penangguhan (cadangan jualan), namun kerajaan juga kena menjawab persoalan. Kami mahu kebertanggungjawaban lebih besar. Jika memang perlu ‘bailout’, kami faham,” katanya kepada FMT.
Antara persoalan dibangkitkan Wan Ahmad Fayhsal sama ada kerajaan menyiasat alasan di sebalik masalah kewangan Boustead Holdings Bhd, sama ada tindakan diambil terhadap tadbir urus salah, dan jika pemegang saham dirunding dalam rancangan penjualan.
Terdahulu, laporan memetik sumber menyatakan rancangan penjualan saham itu menemui kegagalan.
Dilaporkan juga KLK dan BPlant menggantung dagangan sejak 9 pagi, sementara menunggu pengumuman. Bursa Malaysia berkata, dagangan ditangguhkan atas permintaan BPlant.
Wan Fayshal berkata, beliau terkejut dengan perkembangan baharu ini memandangkan Kementerian Pertahanan ada menyentuh isu itu di Dewan Rakyat.
BPlant merupakan anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“(Kementerian Pertahanan) bertegas untuk meneruskan perundingan dengan KLK,” katanya.
Pada 18 Sept, Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata penjualan saham BPlant oleh LTAT bertujuan menangani isu aliran tunai dan menyelesaikan hutang Boustead menjelang penghujung 2023 bagi mengelakkan muflis.
Mohamad berkata demikian susulan pertanyaan Wan Fayhsal berhubung kenapa saham berkenaan tidak dijual sebaliknya kepada Sime Darby atau Permodalan Nasional Bhd, jika kerajaan komited memperkasa pemilikan ekuiti Bumiputera, seperti digariskan dalam RMK12.