Dokumen berkait notis merah menantu Muhyiddin diserah pada Interpol

Dokumen berkait notis merah menantu Muhyiddin diserah pada Interpol

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata dokumen itu diserahkan selepas diterima daripada SPRM.

Bukit Aman berkata dokumen bagi melengkapkan permohonan notis merah terhadap Adlan Berhan, dan peguamnya Mansoor Saat sudah diserahkan kepada Interpol.
PETALING JAYA:
Polis sudah menyerahkan dokumen diperlukan kepada Interpol bagi melengkapkan permohonan notis merah terhadap menantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, dan peguamnya, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Shuhaily berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghantar dokumen berkenaan kepada pihaknya 3 petang tadi, lapor Sinar Harian.

“Ia (dokumen) telah dimajukan kepada Interpol untuk tindakan mereka seterusnya,” katanya.

Pada 29 Sept lalu, Interpol meminta maklumat daripada Bukit Aman berhubung permohonan notis merah terhadap Adlan Berhan, dan peguamnya Mansoor Saat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya kini menunggu SPRM mengemukakan maklumat lanjut berhubung kes itu.

Ayob tidak mendedahkan butiran maklumat diminta Interpol tetapi berkata ia membabitkan beberapa aspek teknikal.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata antara maklumat diminta Interpol adalah berhubung draf pertuduhan.

Adlan dan Mansoor dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan berhubung projek membabitkan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan data biometrik pekerja asing di satu kementerian.

SPRM sebelum ini memberitahu kedua-dua mereka sudah keluar negara pada Mei lalu.

Bagaimanapun, Adlan dan Mansoor mengeluarkan kenyataan menerusi peguam masing-masing bahawa mereka bukan melarikan diri daripada undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.