Cabul bekas pembaca berita, penolong pengurus hotel mengaku tak salah

Cabul bekas pembaca berita, penolong pengurus hotel mengaku tak salah

Mohd Faizal Hussain, 53, didakwa melakukan kesalahan itu di Damansara pada 13 Julai lepas.

Mohd Faizal Hussain, 53, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya mengaku tidak bersalah mencabul bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen swasta, Julai lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penolong pengurus eksekutif hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan rakan sekerja wanitanya yang juga bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen swasta, Julai lepas.

Mohd Faizal Hussain, 53, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 54 tahun itu dengan memegang tangannya bertujuan untuk mencabul kehormatannya di sebuah hotel di Damansara, dekat sini, pada 1 tengah hari 13 Julai lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam Nur Afiqah Mohd Ashriee yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung ibu bapa, isteri dan tiga anak yang masih bersekolah.

“Tertuduh menghidapi penyakit gout manakala ayahnya terlantar sejak lima tahun yang lepas. Dia juga telah digantung kerja sejak laporan dibuat oleh pengadu (mangsa),” katanya.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 20 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.