Baju sukan atau uniform? KPM digesa keluar pekeliling segera

Baju sukan atau uniform? KPM digesa keluar pekeliling segera

Ramai ibu bapa bertanya sama ada anak mereka kembali memakai uniform atau dibenarkan terus memakai baju sukan pada sesi tahun depan.

KPM membenarkan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan semasa cuaca panas sejak Mei lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
NGO guru dan ibu bapa meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan segera pekeliling pemakaian ke sekolah untuk sesi 2024/2025 bagi memudahkan perancangan perbelanjaan kewangan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Azizee Hasan berkata ramai ibu bapa bertanya sama murid kembali memakai pakaian uniform atau terus diberi kelonggaran memakai baju sukan seperti sekarang berikutan cuaca tidak menentu yang ada kalanya panas berpanjangan.

“Dalam keadaan cuaca tak menentu paling elok sekolah atau KPM beri kelonggaran kepada ibu bapa sama ada diberikan pilihan uniform lengkap atau separa uniform.

“Itu lebih praktikal dan menjimatkan kos ibu bapa yang hari ini berdepan pelbagai masalah antaranya kekangan kos sara hidup,” katanya kepada FMT.

Beliau turut khuatir sekiranya KPM mewajibkan pelajar memakai uniform lengkap sekolah dalam rakyat sedang tertekan, ia akan membebankan sebahagian murid khususnya dari keluarga B40.

“Mungkin perbelanjaan yang mereka kena gunakan diperlukan dahulu untuk kehidupan harian dan mereka tak dibebankan dengan pembelian baju beruniform,” katanya sambil menambah kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran harus menjadi keutamaan berbanding pemakaian.

Sejak Mei lalu, KPM membenarkan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan kerana cuaca panas manakala bagi mereka yang memakai seragam sekolah dikecualikan daripada memakai tali leher.

Pada 10 Ogos, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pelajar masih dibenarkan memakai baju sukan ke sekolah meskipun keadaan cuaca bertambah baik.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan berkata sudah tiba masanya KPM mengeluarkan panduan baharu mengenai pemakaian baju sekolah.

“Kita nak KPM tegas dengan buat keputusan awal supaya ibu bapa dapat bersedia dan tidak menunggu sampai waktu-waktu terakhir pengumumannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.