Warga emas maut dengan kesan jerut, polis tahan 2 lelaki

Warga emas maut dengan kesan jerut, polis tahan 2 lelaki

Polis berkata siasatan awal dipercayai bermotifkan samun namun siasatan masih dilakukan.

Menurut polis, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menahan dua lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kematian warga emas yang ditemukan dengan kesan jerut di leher dan tangan serta kakinya diikat dalam kejadian di Kuala Ketil, semalam.

Ketua Polis Baling, Shamsudin Mamat, berkata kedua-dua lelaki berusia 23 dan 25 tahun itu ditahan 3 pagi tadi di sekitar Kuala Ketil.

Beliau yang dipetik Harian Metro berkata, perintah reman terhadap kedua-dua mereka akan dipohon di Mahkamah Majistret Sik, hari ini, bagi membolehkan siasatan lanjut.

Dalam kejadian itu, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 3.21 petang.

Katanya, mangsa ditemui di katil bilik utama di rumah jenis teres setingkat di Taman Desa Bidara.

Kelibat dua lelaki hanya disedari menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah jiran mangsa ketika kedua suspek hendak keluar dari rumah berkenaan.

Menurut Shamsudin, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.