Ketua Polis Johor turut jadi sasaran ‘scammer’

Ketua Polis Johor turut jadi sasaran ‘scammer’

Kamarul Zaman Mamat berkata sindiket berkenaan bukan hanya mengetahui nombor telefonnya malah juga alamatnya.

Kamarul Zaman Mamat menasihati orang ramai berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat kepada individu lain. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Individu dipercayai ‘scammer’ turut cuba memperdaya Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat dengan menggunakan taktik menyamar sebagai pihak berkuasa, baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman itu, Kamarul Zaman berkata sindiket berkenaan bukan hanya mengetahui nombor telefonnya malah juga alamatnya.

Katanya, ketika menerima panggilan, taliannya kononnya disambungkan kepada ‘pegawai penyiasat.’

Kamarul Zaman Mamat.

“Saya menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat kepada individu lain ketika menerima panggilan seumpama itu.

“Dalam suatu kes membabitkan penipuan scammer ratusan ribu, tindakan anak mangsa berkongsi maklumat berkaitan bapanya apabila menerima panggilan memudahkan scammer memperdaya mangsa (bapa),” katanya pada sidang media di IPK Johor, menurut Harian Metro.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata polis turut mendapati kes membabitkan syarikat ditipu ‘scammer’ yang menyamar sebagai syarikat penjual barangan juga berulang kebelakangan ini.

Katanya, syarikat tertentu menerima e-mel daripada mereka dan diminta membuat bayaran ke akaun bank berbeza.

“Apabila menerima e-mel seumpama ini, syarikat seharusnya mendapatkan kepastian sebelum membuat pemindahan wang atau sebagainya.

“Kes seumpama ini dilaporkan mengakibatkan kerugian berjuta ringgit.

“Bagi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, 3,185 kes dilaporkan dari Januari hingga September 2023 berbanding 2,403 kes bagi tempoh sama, tahun lalu, dan penipuan dalam talian merupakan penyumbang terbesar iaitu 82.1%,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.