Kad ID khas beli minyak masak peket diperkenal tahun depan

Kad ID khas beli minyak masak peket diperkenal tahun depan

Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh berkata ia bagi kemastikan barangan bersubsidi itu hanya dibeli oleh kumpulan yang layak.

Fuziah Salleh berkata kerajaan mahu memastikan tidak berlaku penjualan minyak masak peket kepada mereka yang tidak sepatutnya.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan kad pengenalan khas untuk pembelian minyak masak peket, tahun depan.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, berkata ia bagi memastikan barangan bersubsidi itu hanya dibeli oleh kumpulan yang layak.

“Sekarang ini minyak masak peket berada di pasaran terbuka. Kita mahu sasarkan kepada yang memerlukan.. supaya tidak berlaku penjualan kepada yang tidak sepatutnya.

“Maka dengan subsidi bersasar, hanya yang ada ID (pengenalan diri) dan disahkan layak sahaja boleh dapatkan minyak masak peket bersubsidi ini,” katanya di Facebook.

Beliau menjelaskan kerajaan tidak menggunakan aplikasi MySejahtera dalam penentuan pemberian subsidi kerana aplikasi itu tidak boleh membezakan pengelasan isi rumah.

“Keperluan keluarga tak sama dengan keperluan peniaga kecil. Dan juga golongan T20 tak layak terima subsidi minyak masak peket. Maka MySejahtera tak boleh digunakan sebab tak tahu dia T20 atau tak,” katanya.

Beliau berkata kerajaan ketika ini mengeluarkan 60 juta peket minyak masak bersubsidi setiap bulan.

Bagaimanapun, katanya, mekanisme kawalan berkenaan perlu dilaksanakan kerana banyak aduan diterima pihaknya menyatakan barang asas itu sukar didapati di pasaran.

“Ianya selalu habis,” katanya. “Maka perlu kepada ID yang berbeza.”

Julai lalu, Fuziah menyatakan kerajaan akan melaksanakan kaedah pembelian minyak masak peket kepada kumpulan sasar mulai tahun depan dan seramai 5.8 juta isi rumah daripada golongan M40 dan B40 sudah dikenal pasti dan layak berada dalam kumpulan itu.

Beliau berkata, kementerian juga akan menambah kira-kira satu juta pengguna dalam kalangan usahawan mikro seperti peniaga ayam goreng, pisang goreng dan keropok lekor.

Pada 11 Sept, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata program bersubsidi bersasar akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun depan menerusi sistem pangkalan data utama (Padu).

Mei lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju menubuhkan Padu untuk menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.