Jerebu: KPM minta nasihat KKM keperluan tutup sekolah

Jerebu: KPM minta nasihat KKM keperluan tutup sekolah

Fadhlina Sidek berkata keperluan menutup sekolah bergantung kepada nasihat KKM dari semasa ke semasa.

Sebanyak lapan kawasan di Lembah Klang merekodkan bacaan IPU tidak sihat.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) akan mendapatkan nasihat dan cadangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada sekolah perlu ditutup jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus meningkat.

“Kita akan bergantung kepada nasihat KKM dari masa ke masa berkenaan cadangan untuk menutup (sekolah) atau pakai pelitup muka dan sebagainya,” kata Menteri KPM Fadhlina Sidek menurut Bernama.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 di Kuantan.

Fadhlina mengulas situasi jerebu yang melanda negara ketika ini dengan 16 kawasan dilaporkan mencatatkan IPU tidak sihat.

Ia termasuk lapan kawasan di Lembah Klang merekodkan bacaan IPU melebihi 150 dengan Cheras mencatatkan IPU tertinggi 162 setakat 1 tengah hari.

Mengikut bacaan IPU, 0 – 50 dikategorikan sebagai baik, sederhana (51 – 100), tidak sihat (101 – 200), sangat tidak sihat (201 – 300), berbahaya (301 – 400), sangat bahaya (401 – 500) dan kecemasan (lebih 501).

Terdahulu, FMT melaporkan KPM meminta pihak sekolah di kawasan terlibat membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah jika bacaan IPU melebihi 101.

Timbalan Menterinya Lim Hui Ying berkata langkah itu juga selaras dengan SOP sedia ada ditetapkan oleh kementerian terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.